Usahawan kosmetik Alha Alfa sah bercerai
Gempak
Mac 22, 2020 20:21 MYT
Mac 22, 2020 20:21 MYT
USAHAWAN kosmetik yang juga jurusolek popular, Datuk Alha Alfa mengesahkan bahawa dia dan isteri, Noor Azlin Ismail kini sudah bercerai selepas enam bulan hidup bersama.
Bagaimanapun, Alha atau nama sebenarnya, Abdul Al-Halim Mohd Al Fadzil, 32, berkata, perpisahan secara baik itu dibuat selepas masing-masing merasakan sudah tidak lagi serasi untuk meneruskan kehidupan bersama-sama.
"Saya sebolehnya ingin berdiam diri dan tak nak besar-besarkan hal ini supaya aib kedua-duanya terjaga. Tapi mungkin juga ini ujian berat dalam hidup saya.
"Pertama sekali saya sudahpun meminta izin bekas isteri saya untuk menulis mengenai ini dan kami sama-sama akan menghabiskan semua ini secara damai dan harap tiada pihak yang akan mengeruhkan lagi.
"Saya amat berterima kasih kepada bekas isteri saya, telah membahagiakan saya setengah tahun bersama," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram sebentar tadi.
Katanya lagi, penerimaan bekas isterinya terhadap kerjayanya juga berubah selepas mereka berkahwin.
Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan mereka sering berlaku perselisihan faham.
"Mungkin kerana dirinya muda dan impikan hidup sentiasa bersama sedangkan pekerjaan dan masa saya sangat terhad. Mungkin terlalu banyak penggambaran, kerja di luar dan lain-lain lagi membuatkannya tidak boleh terima kerjaya saya.
"Benda ini akan menjadi perselisihan faham bila saya nak ke kerja, saya risau nak keluar rumah untuk kerja, saya hampir hilang diri saya," katanya.
Menerusi posting yang kemudiaannya diturunkan Alha turut berkongsi perasaan.
"Saya tak mahu dia kemurungan, stres berpanjangan, ugut nak cederakan diri dan lain-lain. Gambar saya luka itu saya bergelut menghalangnya daripada mencederakan diri.
"Saya tak boleh dan kalah bab ini sebab saya tidak dibesarkan dalam situasi macam ini. Mungkin gurauan baginya tapi ini sangat menakutkan saya. Jadi, saya lepaskan dirinya sebaiknya," jelasnya.
Terdahulu, sebuah akhbar menerusi satu ruangan pojok mendakwa hubungan rumah tangga yang dibina Alfa sudah berakhir.
Alha dan pasangan, Noor Azlin, 24, mendirikan rumah tangga pada 28 September lalu selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.