Usaha baikpulih pusara Seniman Agung tertangguh
Khairul Wasiril Aswad
Mac 28, 2013 07:00 MYT
Mac 28, 2013 07:00 MYT
Sebanyak 135 pusara di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang yang rosak teruk setelah dihempap pokok pada kejadian 12 Mac lalu masih belum dapat dibaikpulih.
Ini termasuk pusara Seniman Agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, isterinya Biduanita Negara, Puan Sri Saloma dan pelakon komedi terkenal A.R Tompel.
Tinjauan mendapati, puluhan kubur terbenam ke dalam tanah manakala pokok-pokok yang tumbang masih tidak dialihkan berikutan saiznya yang terlalu besar dan berat.
Menurut penyelia tanah perkuburan tersebut, Mohamad Naim Ishak, sebanyak 8 batang pokok besar tumbang berpunca dari angin kencang dan hujan lebat sekitar jam 4 petang pada hari berkenaan.
“Insiden seperti ini pernah berlaku pada tahun 2004, namun pada ketika itu hanya empat batang pokok yang tumbang, kejadian pada tahun ini merupakan peristiwa yang paling buruk pernah berlaku disini,” kata Naim ketika ditemui.
Kejadian tersebut turut dikatakan sebagai luar biasa bagi salah seorang saksi kejadian, Muhamad Zulkiffli yang bertugas di tanah perkuburan pada hari berkenaan.
“Sebelum insiden pokok tumbang, turun hujan air batu di kawasan ini. Ianya turut disaksikan oleh tiga petugas yang lain,” kata Zulkiffli.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang melakukan lawatan bersama beberapa ahli jawatankuasa persatuan itu ke pusara tersebut kecewa kerana kubur Seniman Agung itu masih tidak dibaikpulih dan terabai.
“Saya kesal, sedih dan kecewa apabila begitu ramai orang yang menjulang nama Seniman Agung tersebut namun tidak bertindak dengan sewajarnya apabila pusaranya rosak sedemikian teruk,” kata Zed Zaidi selepas lawatannya.
Tambahnya, kerja pembersihan dan baik pulih pusara seniman dan seniwati negara itu seharusnya dilakukan dengan segera.
“Pihak persatuan juga akan mengadakan kutipan dana bagi membaikpulih pusara kesemua seniman dan seniwati yang terjejas sebagai tanda penghormatan kepada individu yang telah banyak menyumbang jasa kepada negara,” ujarnya.
Katanya lagi, artis pertama yang menghubunginya bagi menyalurkan sumbangan kepada dana itu ialah penyanyi Jamal Abdillah dimana beliau berharap supaya lebih ramai artis tampil menyalurkan bantuan.