Usah tuduh melulu, ini sebab kenapa Haqiem Rusli selalu pakai cermin mata hitam
Gempak
Oktober 25, 2017 18:16 MYT
Oktober 25, 2017 18:16 MYT
DITUDUH terikut-ikut dengan gaya penyanyi senior yang tampil di pentas nyanyian dengan kaca mata hitam, penyanyi baru Haqiem Rusli ada penjelasan sendiri.
Katanya, imej bercermin mata hitam serasi dengan dirinya walaupun penampilan itu mengundang spekulasi peminat yang menyifatkan dia seorang 'playboy' dan sombong.
"Ramai yang cakap saya seorang playboy apabila melihat saya bercermin mata hitam walaupun membuat persembahan pada waktu malam.
"Ada juga yang cakap saya sombong.
"Tetapi sebenarnya cermin mata hitam ini membina keyakinan diri saya dan apabila saya semakin selesa, imej ini serasi dan menjadi trademark saya sampai sekarang.
"Jadi, untuk menyanyi saya perlu pakai cermin mata hitam," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.
Haqiem antara pendatang baharu seni suara yang berjaya melayakkan diri ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 menerusi lagu Segalanya dan Tergantung Sepi.
Selain Haqiem, Wany Hasrita, Tajul, Ismail Izzani, Aiman Tino dan Sufian Suhaimi antara barisan penyanyi baharu yang bakal berentap.
Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 akan berlangsung pada 29 Oktober, 5 dan 12 November di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @hakiemrusli