Uqasha Senrose pernah dua kali alami keguguran
Syahdeen Tahir
Mac 9, 2023 23:19 MYT
Mac 9, 2023 23:19 MYT
Pelakon Uqasha Senrose sahkan dirinya telah dua kali mengalami keguguran.
Menurutnya, kali pertama dia mengalami keguguran ketika mengerjakan umrah awal tahun lalu, manakala kali kedua November lalu.
“Selepas mengerjakan umrah, saya mengambil keputusan untuk buat pemeriksaan di hospital. Doktor minta saya buat ujian kehamilan dan alat tersebut menunjukkan ada dua garis yang menunjukkan saya hamil, cuma kandungan itu memang dah tak ada,” katanya.
Uqasha bercakap demikian ketika ditemui di Majis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2023 yang berlangsung hari ini.
Menurut isteri kepada Kamal Adli itu lagi, dia sekali hamil pada November tahun lalu, namun masih lagi keguguran.
“Dua kali hamil, memang kedua-duanya saya dan suami tidak tahu, malah saya dapat lagi buat pelbagai aktiviti.
“Untuk kehamilan yang pertama, saya pun tak tahu usia kandungan, cuma yang kali kedua ni saya sempat hamil dua bulan,” jelasnya.
Mengenai perancangan untuk hamil lagi, Uqasha memaklumkan dia dan suami perlu merancang memandangkan dia sendiri akan terlibat dengan penggambaran sehingga bulan Ogos ini.
“Bukan tak nak mengandung dalam masa terdekat, tetapi sekarang ini sudah terikat dengan jadual. Cuma sekarang ini saya rasa lega sebab tahu yang saya boleh mengandung, cuma buat masa ini belum ada lagi rezeki saya dan Kamal,” ujarnya.
Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal Adli pada 5 November, 2021.