Upin Ipin luaskan pasaran ke China

Azyyati Ahmad
Mac 18, 2019 19:36 MYT
Selain China, filem Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal juga akan ditayangkan di Indonesia Mei ini.
Selepas Malaysia dan Indonesia, filem animasi kembar nombor satu Malaysia, Upin Ipin akan meluaskan pasarannya ke negara China pula.
Usaha membawa Upin Ipin ke negara yang menawarkan pasaran perniagaan yang luas itu dicapai antara penerbit animasi berkenaan Les' Copaque Production Sdn Bhd dengan Beijing Animation and Gaming Industry Association (Bagia).
Menurut Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi, kejayaan usaha sama ini akan membuka satu lembaran baru kepada industri kreatif di Malaysia, dan menjadi ikutan memandangkan China merupakan satu pasaran besar yang sukar ditembusi penggiat industri global selama ini.
“Pada Ahad malam, kita telah mendapat kebenaran rasmi dari kerajaan China untuk menandatangani MOU bersama dan ini adalah kolaborasi bersama persatuan ini yang dinaungi lebih 250 buah syarikat filem animasi China di bawahnya.
“Kita akan tengok apa yang boleh dibuat bersama seperti filem animasi baru, pemasarannya dan tayangannya serta kita juga akan lihat bagaimana untuk mengadakan expo animasi untuk pasaran Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan wakil dari di Shah Alam pada Isnin.
Majlis berkenaan turut disaksikan Pengarah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru dilantik Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Selain China, naskhah terbaharu Upin Ipin iaitu Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal juga akan ditayangkan di Indonesia dalam tempoh masa yang sama.
#Burhanuddin Md Radzi #China #FINAS #Indonesia #Les' Copaque Production Sdn Bhd #Upin Ipin #Upin Ipin Keris Siamang Tunggal
;