Universiti tawar kursus berkaitan hasil karya Harry Styles

Agensi
Julai 20, 2022 19:13 MYT
Kursus berkenaan akan memberi tumpuan kepada karya bintang pop itu, baik dalam muzik atau filem. - Reuters
SEBUAH universiti di Texas mengumumkan akan menawarkan kursus berdasarkan karya bekas anggota One Direction, Harry Styles.
Kursus dinamakan Harry Styles and the Cult of Celebrity: Identity, the Internet, and European Pop Culture akan ditawarkan di Texas State University mulai sesi musim bunga akan datang.
Kursus berkenaan akan memberi tumpuan kepada karya bintang pop itu, baik dalam muzik atau filem, bagi "memahami perkembangan budaya dan politik selebriti moden".
Penolong Profesor dan Penyelaras Pusat Sejarah Awam di Texas State University, Louie Dean Valencia mengumumkan berita itu di Twitter.
"Ia sudah rasmi. Ia merupakan kursus universiti pertama di dunia mengenai karya Harry Styles.
"Kursus ini juga memberi tumpuan kepada budaya popular Eropah untuk memahami perkembangan budaya dan politik selebriti, dengan perkaitan terhadap persoalan jantina dan seksualiti, bangsa, kelas, negara dan globalisma, media, fesyen, budaya peminat, budaya internet dan kepenggunaan," jelasnya.
Styles bukanlah selebriti pertama kerana beberapa universiti di Amerika Syarikat sebelum ini telah memulakan kursus bertemakan karya selebriti, antaranya Lady Gaga, Beyoncé, Jay Z dan Kanye West, dan The Beatles.
#Harry Styles #Texas State University #kursus #selebriti
;