Unifi TV Extraordinary Tour bawa pengalaman digital di luar skrin

Astro Awani
Disember 4, 2022 09:30 MYT
Majlis pelancaran Extraordinary Tour Unifi TV di Gurney Plaza, George Town, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi destinasi pertama jelajah Unifi TV Extraordinary Tour.
Program tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini bertujuan memberi maklumat terkini kepada pelanggan mengenai tawaran hebat serta kandungan rancangan yang disediakan kepada pelanggan Unifi seluruh negara.
Ketua Pegawai Pemasaran TM, Shanti Jusnita Johari berkata jelajah ini membawa pengalaman digital di luar skrin dan mengetengahkan penyedia kandungan dan aplikasi penstriman terkemuka kepada pelanggan Unifi TV.
"Unifi Extraordinary Tour yang Unifi bawa pada kali ini adalah untuk memperkenalkan kandungan dan siaran kandungan.
"Penstriman yang dibawakan oleh Unifi antara lainnya ialah, pelanggan dapat menikmati kandungan siaran sama ada melalui android box.
"Kita ada banyak saluran iaitu 17 lebih rangkaian dan 17 aplikasi penstriman.
"Secara dasarnya, kita ada semua saluran bersesuaian sama ada untuk kanak kanak, ibu bapa dan juga sebagainya.
"Jadi, jelajah ini adalah untuk memperkenalkan kandungan siaran seperti sukan, hiburan dan sebagainya," kata Shanti.
Selain itu, katanya, Unifi berjaya memperoleh tiga juta pelanggan tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihaknya mempercepatkan keterangkuman digital dan menyokong aspirasi JENDELA negara.
Ketua Unifi TV, Ho Hock Doong berkata, Unifi TV memperkenalkan Unifi Plus Box di mana pelanggan mendapat akses terus ke rancangan terbaik dan aplikasi yang paling diminati secara sah.
Katanya, Unifi Plus Box ialah Android Box terbaharu yang diperkenalkan untuk pelanggan Unifi memaksimakan pengalaman menonton.
Dengan Unifi Plus Box, pelanggan boleh mengakses terus ke kandungan Unifi TV termasuk Disney+ Hotstar, Viu, MangoTV, Nickelodeon, Warner TV dan sebagainya.
Selain itu, bagi meraikan tiga juta pelanggannya, bermula 1 Disember 2022 hingga 1 Januari 2023 pelanggan boleh menikmati tontonan percuma semua 72 saluran Unifi TV, potongan harga sehingga 50 peratus untuk filem pay per view Unifi TV dan juga percubaan percuma aplikasi penstriman Unifi TV.
"Memandangkan kita sudah ada tiga juta pelanggan, semua pelanggan boleh melihat kandungan rancangan di Unifi TV secara percuma.
"Bagi aplikasi pula, semua pelanggan boleh langgan selama dua minggu secara percuma untuk pek percubaan (trial).
"Saya rasa ini adalah tawaran yang paling 'best', untuk tempoh sepanjang bulan Disember sampai 1 Jan, semuanya boleh dilihat secara percuma.
"Mengenai harga pakej pula, harga yang ditawarkan adalah serendah RM30, pelanggan boleh dapat pek aneka yang dilengkapi dengan 50 saluran sekali gus. Jadi, ia memang berbaloi," katanya selepas majlis pelancaran Extraordinary Tour Unifi TV di Gurney Plaza, di sini, pada Jumaat.
Dalam masa sama, TM juga katanya, akan terus meningkatkan perkhidmatan digital dengan memperbanyakkan himpunan kandungan dan saluran, menerusi penglibatan rakan usaha sama tempatan dan antarabangsa.
Pada majlis sama, Unifi TV turut melancarkan Unifi #BoxofHappiness yang mengandungi rangkaian lengkap kandungan yang tersedia didalam Unifi TV, di Plaza Gurney Mall, Taman Tasek Permaisuri, Berjaya Times Square, Setia City Mall dan Avenue K secara serentak.
Jelajah selama tiga hari di Pulau Pinang itu akan ke destinasi seterusnya iaitu wilayah Selatan dan Tengah dalam masa terdekat.
#Unifi TV Extraordinary Tour #hiburan #pulau pinang #jelajah Unifi TV
;