Ungu tak gentar dengan penangan K-Pop
Astro Awani
November 29, 2012 17:02 MYT
November 29, 2012 17:02 MYT
Sudah lama tidak muncul dengan produk baharu dan ditambah pula dengan fenomena K-Pop, Ungu tetap yakin bahawa pemuzik tempatan masih lagi mempunyai sokongan.
Kumpulan dari Indonesia itu telah melancarkan album terbaharu mereka berjudul Timeless. Album ini memuatkan empat lagu baharu dan 10 lagu yang sudah popular.
Mereka tidak langsung melihat K-Pop sebagai pencabar namun ia memberi semangat untuk menghasilkan karya yang terbaik.
“Ia tidak membuat Ungu takut kerana kami sentiasa berusaha untuk membuat yang terbaik. Kami mempunyai peminat yang cukup setia dan kita harus memberikan yang terbaik. InsyaAllah, karya bagus akan diterima dengan bagus,” jelas vokalis kumpulan Ungu, Pasha.
Jelas beliau lagi, Timeless dihasilkan atas permintaan dari peminat. Ini membuktikan muzik mereka masih relevan, tanpa perlu band mereka beralih arah.
Antara lagu yang dimuatkan adalah Sayang, Apa Sih Maumu, Kekasih Gelapku dan Percaya Padaku.
Pelancaran album “Timeless” dilakukan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada hari Rabu.