Umur sudah 50-an, namun Mael dan rakan-rakan XPDC masih tangkas di pentas
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 11, 2020 19:14 MYT
Februari 11, 2020 19:14 MYT
DI luar kesedaran sebilangan besar peminat muzik heavy metal, barangkali ramai yang tidak sedar bahawa usia penubuhan kumpulan XPDC 'Kita Peng Yu' sudah melepas tiga dekad.
Atau paling tepat, sudah 31 tahun XPDC bertahan dalam gelanggang industri muzik tanah air.
Selepas sekian lama menghiburkan peminat mereka, tentu sekali ada yang berpendapat, langkah kumpulan yang dianggotai oleh empat tunggak utama XPDC, Mael (vokalis), Zua (pemain bass), Amy (pemain drum) dan Jeff (pemain gitar) akan memperlahankan momentum persembahan mereka.
Maklum sahaja, kecuali Jeff yang lain sudah melepasi usia 50 tahun, hakikat itu nyata jauh tersasar kerana jadual persembahan kumpulan otai ini sentiasa padat.
Undangan mengadakan persembahan tidak putus-putus diterima mereka.
Paling terbaharu, pada Ahad lalu, Astro AWANI berpeluang menjenguk kumpulan itu mengadakan persembahan di Hard Rock Café Kuala Lumpur (HRCKL) yang diadakan khas buat peminat tegar mereka.
Walaupun tanpa album atau lagu baharu, itu bukan halangan buat XPDC menghiburkan peminat fanatik mereka.
Sekalipun tiket menonton persembahan mereka dijual pada harga RM100, permintaan yang diterima XPDC sangat mengagumkan apabila kesemua tiket habis di jual sekali gus menyaksikan ruang pusat hiburan itu padat dengan kehadiran peminat-peminat mereka.
Apa yang turut mengagumkan ialah penyanyi kumpulan itu, Mael yang sebelum ini pernah menerima pelbagai kritikan dari aspek kualiti vokal yang dikatakan sudah tidak lagi bertenaga, membuktikan sebaliknya.
Mael seakan menerima 'vitamin' yang memperlihatkan dia masih hebat dan tangkas di pentas.
Vokalnya masih utuh dan bertenaga.
Malam itu Mael dan rakan-rakannya menghidangkan 17 buah lagu dalam tempoh dua jam lebih dengan bertenaga, persembahan yang mantap, adunan muzik berselang-seli alunan keras dan lembut yang disifatkan peminat mereka sebagai memukau.
Peminat-peminat tegar XPDC nyata berpuas hati dengan persembahan band kesayangan mereka selain merasakan sangat berbaloi dengan pelaburan yang dibuat.
Malah menurut wakil HRCKL, Wawa, pihaknya berpuas hati dengan mutu persembahan XPDC dan juga sambutan peminat yang diberikan pada malam “Sunday Night Live” berkenaan.
"Peminat XPDC sanggup menunggu dan berkumpul dari awal lagi untuk menyaksikan persembahan kumpulan XPDC yang kali terakhir membuat persembahan di HRCKL lima tahun yang lalu.”
“Walaupun telah lama tidak beraksi di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan tidak mempunyai album baru namun mereka masih mampu menawan peminat yang telah sekian lama menunggu dan masih setia menyokong XPDC sehingga mampu bertahan hingga kehari ini.”
“HRCKL amat berpuas hati dengan persembahan yang diberi kan oleh XPDC dimana pihak HRCKL telah melihat mereka dengan jayanya menarik perhatian para peminat," kata Wawa kepada Astro AWANI.
Menurut pengurus XPDC, Yazid pula, peluang kedua yang diberikan HRCKL itu sangat dihargai dan kehadiran peminat membuktikan muzik heavy metal perjuangan mereka masih lagi tetap di hati peminat.
“Agak terkejut juga dengan sambutan peminat yang hadir dan terima kasih juga kepada HRCKL.
"Apa yang penting peminat sangat terhibur selama dua jam yang dihidangkan oleh XPDC.
"Persembahan kali ini agak istimewa kerana Mael begitu bertenaga menyampaikan lagu-lagu yang pernah melonjakkan nama XPDC di persada industri hiburan,” kata Yazid lagi.