Ummi Nazeera pula tarik diri daripada MN
Sinar Harian
Disember 18, 2022 14:57 MYT
Disember 18, 2022 14:57 MYT
SHAH ALAM: Pelakon, Ummi Nazeera mengambil keputusan menarik diri sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).
Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nurhidayah Zainul Abidin, 32, berkata, dia memutuskan perkara itu selepas mengambil kira kegusaran ramai mengenai penglibatannya dalam dunia politik.
Menurutnya, dia mahu memberi seluruh fokus dalam bidang seni dan juga keluarga.
"Setelah mengambil kira kegusaran dari peminat-peminat Ummi yang disayangi serta dari pihak-pihak berkepentingan, saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri dari Muafakat Nasional, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
"Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga Ummi," katanya dalam satu hantaran di Instagramnya pada Ahad.
Pada Sabtu, penyanyi, Datuk Jamal Abdillah mengumumkan menarik diri daripada MN kerana menyifatkan dunia politik tidak sesuai dengan prinsip dirinya sebagai penghibur.
Ummi dan Jamal menjadi bualan ramai susulan nama mereka tersenarai sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN.
Sebelum itu, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan individu yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti profesional, ahli akademik, pempengaruh serta melangkaui parti politik yang akan membantunya menggerakkan NGO tersebut.
Sementara itu, menerusi hantaran sama, Ummi turut mengucapkan terima kasih kepada MN kerana melantiknya.
"Terima kasih atas kesudian MN melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.