Ulasan 'seram sejuk' tak mampu jejaskan kutipan 'The Nun'
Madiha Abdullah
September 8, 2018 17:33 MYT
September 8, 2018 17:33 MYT
ANTARA filem paling dinantikan tahun 2018, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila The Nun dilaporkan mencatat kutipan AS$5.4 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu.
Ia disifatkan sebagai pembukaan yang berjaya memandangkan hari tayangannya itu bukan hari cuti atau hujung minggu.
Biarpun mendapat ulasan kurang memuaskan, dengan Rotten Tomatoes hanya memberikan skor 29 peratus, tarikan The Nun nampaknya tidak terjejas.
Di Amerika Syarikat sahaja, The Nun dijangka tidak mempunyai masalah untuk mencapai kutipan AS$44 juta pada hujung minggu ini.
Filem itu kini merupakan francais The Conjuring yang paling berjaya. Empat filem sebelum ini, selain The Conjuring, adalah Annabelle, The Conjuring 2, dan Annabelle: Creation.
The Nun merupakan prequel kepada The Conjuring 2, yang berlatar belakangkan tahun 1952. Ia mengisahkan seorang biarawati, lakonan Taissa Farmiga, dan seorang paderi Katolik, lakonan Damien Bachir, yang menyiasat kes bunuh diri yang berlaku di Romania.