Ulasan filem Batman v Superman: Sentuhan Snyder kusut, Affleck menyinar

Nizam Bakeri
Mac 24, 2016 11:59 MYT
Filem Batman v Superman merupakan pembuka tirai bagi francais Justice League yang menampilkan beberapa adiwira DC Comics seperti Flash dan Aquaman - Foto fail
JANGAN risau. Tiada spoiler di sini. Anda boleh terus membaca.
Batman v Superman (BvS) arahan Zack Snyder merupakan filem taruhan Warner Bros dan DC Comics dalam usaha membina DC Extended Universe (DCEU) untuk menyaingi kejayaan gandingan Disney/Marvel melalui Marvel Cinematic Universe (MCU).
BvS bermula sebagai sambungan kepada filem Man of Steel, juga arahan Snyder. Pertarungan Superman lakonan Henry Cavill dengan warga Krypton yang memusnahkan Metropolis dipapar melalui sudut pandang Bruce Wayne (Ben Affleck).
Bagi Wayne, Superman pemusnah. Bangunannya runtuh, para pekerjanya meninggal dunia.
Pandangannya dikongsi oleh Senator Finch (Holly Hunter) yang mahu Superman bertanggungjawab atas semua kematian akibat tindakannya ‘menyelamatkan dunia’.
Superman juga tidak menyenangi tindakan Batman yang menentang jenayah dengan keganasan. Ya, Snyder memilih untuk menggambarkan Batman dalam BvS sebagai adiwira pertengahan umur yang sarat dengan kemarahan bahkan mencacah penjenayah dengan besi panas (berbentuk kelawar, tentunya).
Pendirian Finch dan Superman inilah yang dimanipulasi oleh jutawan teknologi Lex Luthor (Jesse Eisenberg) untuk mewujudkan pertembungan antara pembela Gotham dan pelindung Metropolis.
Selepas menonton filem ini, perasaan saya bercampur-campur. Visualnya hebat. Lakonan Affleck mantap dan berjaya menafikan peminat (termasuk saya) yang ragu dengan kemampuannya untuk mewarisi watak ini daripada Christian Bale.
Gal Gadot turut membuktikan dia pilihan tepat sebagai Wonder Woman. Senyuman dan aksi lincahnya menjadikan kombinasi trio adiwira ini lebih berwarna-warni berbanding Superman dan Batman yang sering kelihatan marah dan kadangkala kecewa.
Namun BvS bergelut dengan beberapa kelemahan yang mungkin menyebabkan gandingan Warner Bros/DC Comics perlu menilai semula pemilihan Snyder sebagai teraju utama untuk filem DCEU yang mendatang.
Snyder sumbat semua
Filem ini menjadi mangsa sindrom kesinambungan francais seperti Iron Man 2 dan Avengers: Age of Ultron. Para penonton diumpan dengan babak yang menampilkan bayangan untuk filem seterusnya.
Terlalu banyak babak dimasukkan ke dalam jalan cerita yang akhirnya menenggelamkan fokus utama: pertembungan falsafah dan fizikal Batman dan Superman.
Paling melucukan, ketika Batman ditanya mengapa adiwira lain perlu bersama-sama berjuang bersamanya menentang satu kemusnahan, jawabnya: "Itu cuma firasat saya."
Asas pertembungan lemah
Untuk mengelak spoiler, cukup saya katakan pertarungan Batman dan Superman disebabkan oleh salah faham dan muslihat.
Penulis lakon layar, Chris Terrio (Argo) dan David S. Goyer (Man of Steel, The Dark Knight, Batman Begins) menggambarkan Batman sentiasa cemburu dengan kekuatan makhluk asing yang dimiliki oleh Superman.
Manakala Superman, entahlah. Sehingga ke hujung filem, saya tidak jelas sebab amarahnya. Adakah semata-mata kerana Batman terlalu keras menentang penjenayah?
Mimpi, mimpi, mimpi
Bruce Wayne bermimpi lebih daripada sekali dalam BvS, berselang-seli antara insiden pembunuhan ibu bapanya dan permusuhan dengan Superman.
Babak mimpi yang terselit dalam jalan cerita ini benar-benar mengganggu tempo plot dan tidak terlalu menyumbang kepada perkembangan BvS.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, BvS sebuah filem yang baik. Aksinya hebat walaupun berkali-kali pemberita muncul memberitahu penonton bahawa dua adiwira itu bertarung di kawasan tanpa manusia (barangkali untuk menjawab kritikan tentang nyawa orang awam yang terkorban dalam Man of Steel).
Namun Snyder terperangkap dalam tiga tuntutan: menyajikan filem penuh aksi, mengumpan penonton untuk terus setia bersama DCEU, dan membincangkan falsafah adiwira.
Para peminat akan tetap berpusu-pusu ke pawagam. Bahkan yang berkesempatan menonton sudah mula membanjiri laman IMDb dan memberi mata 9.7/10 kepada filem ini. Siapa peduli dengan pengkritik filem?
Namun dalam jangka masa panjang, Warner Bros/DC Comics perlu mempertimbangkan hala tuju yang ingin dibawa oleh DCEU. Jangan biarkan Snyder terus kusut.
Filem Batman v Superman bakal ditayangkan di Malaysia pada 25 April.
#Batman v Superman #Ben Affleck #Gal Gadot #Henry Cavill #ulasan Batman v Superman #wonder woman
;