'Uji Rashid tak kena halau!' - Wakil keluarga tampil beri penjelasan sebenar
Gempak
Mac 16, 2018 14:00 MYT
Mac 16, 2018 14:00 MYT
WAKIL keluarga penyanyi popular 1970-an, Uji Rashid tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku kepada mereka sekeluarga.
Kata individu yang menggunakan nama Rehan Ismail di Facebooknya, Uji Rashid tidak dihalau dari kediaman yang sedang disewanya sekarang namun mencari alternatif untuk terus menyara keluarga.
"Nak beritahu juga, bukan kena halau. Sekarang menyewa apartment RM1,500, tak beli sebab banyak dokument melibatkan slip gaji dan sebagainya.
"Dia menjaga Cico yang sakit sejak setahun lalu.
"Dia seorang yang menyara keluar dia (anak dan cucu). Walaubagaimanapun, kami turut membantu mana yang perlu," jelasnya.
Rehan memohon agar situasi yang berlaku kepada Uji dan keluarganya tidak ditularkan dan dibandingkan dengan arwah biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.
"Jangan bandingkan dia dengan arwah Sharifah Aini sebab dia single sejak Cico bayi lagi.
"Menanggung arwah ibu dia dan keperluan keluarga. Dia sepatutnya sudah berehat senang lenang tetapi musibah yang melanda Cico adalah dugaan yang dia harus hadapi.
"Apa yang tersiar dan viral dalam media saya pasti amat perit bagi dia yang selama ini tidak pernah meminta-minta bantuan," tambahnya.
Beberapa hari lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu dilaporkan terpaksa keluar daripada rumah sewanya di Ampang, Kuala Lumpur dan memohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Berita sedih itu dikongsikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini.
Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: FB Rehan Ismail