Ude, Intan Liana akhirnya sah bercerai
Sinar Harian
Mac 22, 2018 11:25 MYT
Mac 22, 2018 11:25 MYT
Suami kepada dramatis Izreen Azminda, Ude atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid sah bercerai dengan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh, hari ini.
Ude, 30, melafazkan talak satu terhadap Intan Liana, 33, jam 9.50 pagi dihadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut ketika prosiding yang berlangsung sebentar tadi.
Sementara itu, sebelum lafaz talak dibuat, pasangan itu diberi peluang bersalaman yang mana ketika itu Intan menangis kerana tidak dapat menahan kesedihannya.
Pemuzik yang terlibat dengan program Gegar Vaganza itu memfailkan permohonan cerai itu pada Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Ude diwakili Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain manakala peguam Suriany Awaludin bertindak bagi pihak Intan Liana.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Areq Muqri berusia setahun.
Pada 8 Ogos tahun lalu, Uda bernikah dengan Izreen sebelum konflik rumahtangga mereka mula berlaku dan difahamkan mereka telah tinggal berasingan sejak lima bulan lalu.