Ucapan panjang Sheila Majid dapat perhatian di AIM 22
Hilal Azmi
Disember 18, 2016 00:59 MYT
Disember 18, 2016 00:59 MYT
Kejayaan Datuk Sheila Majid dalam Anugerah Sri Wirama menjadi perhatian penonton di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ahad.
Mana tidaknya, penyanyi malar segar dengan lagu Sinaran mengambil masa hampir lima minit untuk menyampaikan ucapan penghargaan di atas kejayaannya dalam Anugerah Industri Muzik 22.
"Ini penghargaan atas karier saya dalam industri muzik selama lebih 30 tahun.
"Memang senang untuk menjadi penyanyi di zaman ini, tetapi untuk bertahan belum tentu.
"Segalanya memerlukan disiplin, dedikasi dan pengorbanan bagi menjadikan kita kekal relevan dalam industri," kata pelunak suara yang turut terkenal sebagai Ratu Jazz Negara.
Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk peminat tempatan memperuntukkan wang mereka yang sebelum ini dibelanja untuk konsert artis antarabangsa, kepada artis tempatan.
Jelas beliau, sokongan peminat akan terus memeriahkan lagi industri muzik negara.
Dalam pada itu, Yunalis Zarai atau Yuna berjaya merangkul Anugerah Kembara AIM 22.
"Jangan biar saya yang terakhir kembara ke luar negara," kata Yuna dalam ucapan ringkasnya.
Selain itu, Datuk Siti Nurhaliza mengungguli senarai pemenang bagi AIM 22 apabila berjaya merangkul 4 anugerah daripada 7 pencalonan.
Penyanyi nombor satu tanah air itu memenangi anugerah Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Menatap Dalam Mimpi.
Beliau memenangi kategori itu untuk kali ke -13. Lagu berkenaan turut dipilih sebagai pemenang Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.
Dua lagi kategori yang dimenangi ialah Lagu Nasyid Terbaik (Mikraj Cinta) dan Album Terbaik (Datuk Siti Nurhaliza Unplugged).
Siti juga mengungguli kategori baharu, Penyanyi Pilihan Malaysia yang menyaksikan pemenangnya diundi peminat.
Akim Ahmad menerusi kumpulannya Akim & The Majistret dinobatkan sebagai pemenang Persembahan vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) bagi lagu Potret.
Kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu pula menjadi milik Misha Omar dan Hafiz Suip (Terimaku Seadanya) serta DeFam meraih kemenangan menerusi Supergirls bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Berkumpulan).
Azlan & Typewriter merangkul anugerah Lagu Rock Terbaik menerusi lagu Mata Hati.
Faizal Tahir pula menerima dua trofi, masing masing Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi lagu Sejati.
Lagu Janji nyanyian Altimet dan Takahara Suiko pula terpilih sebagai Lagu Hip Hop Terbaik.
Turut cemerlang adalah lagu dendangan Reena Nicky, Joget Sulam Sakti yang diumumkan Lagu Pop Etnik Terbaik, manakala SonaOne memenangi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dengan lagu ciptaannya sendiri berjudul Firefly.
SonaOne mengulangi kejayaan pada AIM 21 untuk kategori sama menerusi lagu No More.
Naib Juara Akademi Fantasia 2015, Syamel muncul pemenang kategori Artis Baharu Terbaik.
Selepas setahun ditunda, AIM 22 anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) turut memperkenalkan lima kategori baharu.
Kategori berkenaan ialah Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube dan Lagu Nada Dering Pemanggil Jualan Paling Tinggi dan Penyanyi Pilihan Malaysia.
AIM 22 turut membariskan segmen persembahan antaranya membabitkan Rabbani, Hazama, Syamsul Yusof, Daly Filsuf, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Sakura Band, Ameng, Akim & The Majistret, Projector Band dan Khalifah.
Senarai penuh pemenang AIM22:
Album Terbaik:
Dato' Siti Nurhaliza Unplugged
Lagu Terbaik:
Sejati - Faizal Tahir
Anugerah Penyanyi Pilihan Malaysia:
Datuk Siti Nurhaliza
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
Datuk Siti Nurhaliza - Menatap Dalam Mimpi
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
Akim Ahmad - Potret
Lagu Pop Terbaik:
Sejati - Faizal Tahir
Lagu Rock Terbaik:
Mata Hati - Azlan & The Type Writer
Anugerah Kembara:
Yuna
Anugerah Sri Wirama:
Datuk Sheila Majid
Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu:
Menatap Dalam Mimpi - Datuk Siti Nurhaliza
Rakaman Album Terbaik:
Panic Bird - Froya
Kulit Album Terbaik:
Bahtera - Sekumpulan Orang Gila
Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu:
De Fam - #Supergirls
Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu:
Misha Omar & Hafiz Suip - Terimaku Seadanya
Video Muzik Terbaik:
Not For Sale - Stacy
Artis Baru Terbaik:
Syamel
Lagu Hip Hop Terbaik:
Janji - Altimet & Takahara Suiko
Lagu Inggeris Tempatan Terbaik:
Firefly - Sonaone
Lagu Nasyid Terbaik:
Mikraj Cinta - Datuk Siti Nurhaliza
Lagu Pop Terbaik:
Joget Sulam Sakti - Reena Nicky