Ubati rindu Starlight Malaysia, VIXX Leo tampil dengan lagu muzikal
Isabelle Leong
Julai 27, 2019 07:00 MYT
Julai 27, 2019 07:00 MYT
Ahli kumpulan K-Pop terkenal VIXX, Leo akhirnya mengubati kerinduan peminat Malaysia dengan membuat persembahan solo di negara ini pada Sabtu.
Leo yang juga merupakan pelakon teater muzikal hadir tanpa anggota VIXX yang lain pada kali ini dan tampil dengan empat lagu muzikal pada K-Performance Show 2019 hasil anjuran Korea Tourism Organisation (KTO) Malaysia.
Dia tampil dengan sisi berbeza memulakan persembahannya dengan lagu ‘Ordinary Lives’ daripada muzikal yang berjudul ‘Mata Hari’.
Leo membintangi watak seorang pegawai juruterbang Perancis, Armand yang jatuh cinta dengan seorang penari yang bernama Mata Hari.
Dalam sesi ‘ment’ (masa yang diperuntukkan untuk membolehkan penyanyi memperkenalkan diri, bercakap dengan peminat dan menutup konsert), Leo menjelaskan seperti pasangan bercinta yang lain, watak Armand merindui Mata Hari tatkala mereka berjauhan.
Hal ini kerana Armand perlu berperang dalam Perang Dunia Pertama dan terpaksa berpisah dengan kekasihnya.
Leo kemudiannya mendendangkan lagu daripada muzikal yang pernah dibintanginya iaitu ‘Moment Will Pass Me’ daripada muzikal ‘The Last Kiss’ dan ‘From Way Up Here’ daripada muzikal ‘Mata Hari’.
Leo nyata sesuai digelar penyanyi utama kumpulan VIXX kerana berjaya mengekalkan vokal dan melontarkan nada tinggi sepanjang persembahannya itu.
Dalam sesi 'ment' seterusnya, dia memberitahu bahawa dia kini sedang membuat persiapan untuk muzikal terbaharunya, ‘Marie Antoinette’.
“Saya mencadangkan anda untuk melawat Korea Selatan untuk ‘K-Performances’ seperti Jump, The Painters, Sachoom dan DJ Roots yang membuat persembahan tadi.
“Ia tentunya akan menjadi peluang yang baik untuk anda mencipta lebih banyak memori yang sukar dilupakan,” kata Leo dengan bantuan penterjemah.
Sebelum menyanyikan lagu terakhirnya untuk Starlights, beliau menjemput semua yang hadir pada acara tersebut ke Korea Selatan untuk menyaksikan persembahannya dalam muzikal ‘Marie Antoinette’.
“Saya dipilih membintangi watak Fersen dalam muzikal Marie Antoinette dan akan membuat persembahan dari Ogos ke November ini.
“Saya ingin menjemput anda semua untuk menyaksikan persembahan saya dan ini janji bahawa anda akan datang untuk memberikan sokongan kepada saya,” tambahnya.
Starlights kemudiannya dihiburkan dengan lagu ‘Nostalgia’ dari album terbaharunya iaitu ‘Muse.
Beliau juga mengambil hati mereka dengan mengucapkan ‘terima kasih’ dalam Bahasa Malaysia dan berjanji untuk kembali ke negara ini.
Starlights tentunya berasa teruja dan memberikan sorakan dan tepukan gemuruh kepadanya.
Acara K-Performance Show 2019 bertujuan untuk memperkenalkan pelbagai persembahan dan lokasi tarikan pelancong di Korea Selatan kepada rakyat Malaysia.