Tyzo dijangka umum sertai stesen radio baharu hari ini
Sinar Harian
Mac 4, 2024 08:10 MYT
Mac 4, 2024 08:10 MYT
BEKAS penyampai radio, Tyzo Xander dijangka mengumumkan berita baik iaitu penyertaannya dengan stesen radio baharu pilihan hari ini.
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, 48, sebelum ini dikatakan pernah menerima tawaran daripada empat stesen radio sebaik sahaja ditamatkan perkhidmatan bersama Suria FM, awal Januari lalu.
Beliau yang masih menantikan kontrak hari terakhir bersama Suria FM pada Sabtu depan bagaimanapun mengakui tidak sabar untuk memulakan semula kerjayanya sebagai penyampai radio.
Namun, dirinya mengakui belum boleh berkongsi nama stesen penyiaran tersebut kerana ia masih dalam peringkat perbincangan akhir.
Ujar Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 tahun lalu, tidak ada sebarang kata putus dibuat ekoran tiada kontrak perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak.
Tambah beliau, alasan untuk tidak berkongsi lebih lanjut mengenai perkara berkenaan adalah kerana ingin menghormati pihak pengurusan stesen radio baharu selain percaya ia merupakan pilihan terbaik buat kariernya dalam masa jangka panjang.
Jelas Tyzo yang sudah dua bulan tidak berada di konti, keputusan memilih stesen radio baharu itu kerana beliau secara peribadi merasakan ia boleh menjamin kehidupan lebih baik asalkan suaranya masih diterima ramai.
Penyampai itu turut berharap agar kesempatan pada kali ini mampu memberi ruang dan peluang yang terbaik buatnya selain dalam masa sama mengakui tidak akan meninggalkan siaran ‘podcast’ di platform TikTok.
Apa pun, perjalanan anak seni bernama Tyzo dalam industri seni bahkan dunia penyiaran radio jelas belum berakhir.
Semoga perkhabaran positif ini memberi harapan kepada mantan pelakon tersebut untuk menyampaikan hiburan santai setiap hari buat kesemua penggemar suara lunaknya.
Sebagai rekod, kontrak Tyzo berakhir pada 12 Januari lalu susulan Suria FM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi menghasilkan produk lebih menarik serta segar untuk tahun ini hingga seterusnya. - Sinar Harian