Tyra Banks umum musim terakhir 'America's Next Top Model'
Syafique Shuib
Oktober 15, 2015 00:10 MYT
Oktober 15, 2015 00:10 MYT
SETELAH 22 musim, program realiti popular ‘America’s Next Top Model’ (ANTM) akan berakhir.
Perkara ini diumumkan di Instagram oleh bekas model dan personaliti televisyen Tyra Banks selaku pengasas, hos dan Penerbit Eksekutif ANTM.
“Musim ke-22 adalah musim terakhir. Sudah tiba masanya. Peminat-peminat setia kami tahu usaha kami dalam mengembangkan definisi kecantikan.
“Kami adalan rancangan realiti pertama berdasarkan dunia fesyen. Saya juga tidak percaya kami akan lakukan ini selama 22 musim,” kata Banks di Instagram.
Selain itu, beliau berharap para penonton dapat menerima ketidaksempurnaan mereka dan dapat belajari sesuatu menerusi program berkenaan.
Ramai peminat Banks meluahkan kesedihan mereka susulan pengumuman itu.
“Terima kasih Tyra Banks. Anda telah membantu saya percaya kepada diri saya sendiri. Anda memang contoh kepada wanita-wanita yang lain,” kongsi pengguna Instagram, @enith07.
Seorang lagi pengguna Instagram, @smilkesnancy, berkata beliau sentiasa menonton ANTM bersama anak perempuannya.
"Kecantikan adalah untuk mencintai diri anda dan juga menerima ketidaksempurnaan anda,” kongsi beliau.
Sementara itu di Twitter, ramai netizen berkongsi ‘meme’ sempena berakhirnya program realiti ini:
ANTM mula diterbitkan pada tahun 2003 dan disiarkan selama 12 tahun dan 22 musim.
Ia merupakan antara rancangan paling popular di saluran UPN dan CW di Amerika Syarikat.
Selain Amerika Syarikat, acara ini mempunyai versi tempatan di beberapa buah negara seperti Australia, Germany, Kanada, Mexico, Filipina, Britain, dan Vietnam.
Model Malaysia, Sheena Liam, memenangi musim kedua 'Asia’s Next Top Model'.
Di Malaysia, ANTM musim ke-22 kini bersiaran di saluran Star World (Astro 711 / 722 HD).