Tutup ruang komen, hidup Izara Aishah lebih tenang
Sinar Harian
Jun 4, 2018 09:51 MYT
Jun 4, 2018 09:51 MYT
AKTRES Izara Aishah tidak menafikan tindakannya menutup ruang komen akaun Instagram lebih setahun lalu membuatkan dirinya kini lebih tenang.
Malah, pelakon popular menerusi drama Vanilla Coklat gandingan hero Aiman Hakim berkata, dia tidak berminat untuk ambil tahu sebarang komen daripada netizen.
"Saya sudah pun tutup komen Instagram saya @izaraaishahofficial lebih setahun lalu. Kalau ditanya sampai bila nak tutup, mungkin saya akan tutup selama-lamanya.
"Saya tutup sebab tak minat nak ambil tahu dengan pandangan netizen mengenai diri saya. Malah, saya juga takut dan tak suka untuk baca setiap komen melampau yang diberikan.
"Sejak saya tutup komen, kehidupan sekarang lebih tenang dan bahagia daripada membaca komen yang bukan-bukan," katanya kepada Media Hiburan.
Kata figura 25 tahun ini lagi, andai ada sesiapa yang mahu bercakap atau mengatakan sesuatu kepadanya, tampil secara bersemuka sahaja tanpa berselindung menerusi akaun palsu.
"Kalau ada benda yang mahu ditanya, lebih baik tanya secara berdepan. Jangan berselindung di sebalik akaun palsu atau berani hanya di media sosial sahaja. Rasanya itu lebih baik," katanya.