Turunkan berat badan secara mendadak, usaha Shaheizy Sam membuahkan hasil

Gempak
November 5, 2018 08:30 MYT
SAM: Terima kasih kepada barisan juri yang menghargai bakat saya dan merasakan saya layak untuk merangkul trofi ini. - Astro GEMPAK
USAHA aktor Shaheizy Sam menurunkan berat badan secara mendadak untuk menjayakan watak Naufal dalam filem Pinjamkan Hatiku nyata membuahkan hasil.
Meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) baru-baru ini, Sam merealisasikan karakter seorang lelaki yang menderita sakit kanser tahap empat.
"Alhamdulillah, usaha saya untuk mendalami watak Naufal membuahkan hasil. Saya memang tertarik dengan karakter Naufal dan sebelum memulakan sesi penggambaran, saya berusaha untuk menurunkan berat badan untuk memenuhi tuntutan watak.
"Pada awalnya, saya lakukan perkara tersebut untuk kepuasan tersendiri. Usaha saya berbaloi. Saya berterima kasih kepada penerbit, pengarah serta rakan pelakon lain seperti Ayda Jebat, Datuk Farid Kamil, Normah Damanhuri dan ramai lagi serta semua tenaga produksi filem Pinjamkan Hatiku ini," kata Sam.
Sam menewaskan empat finalis lain iaitu Faizal Hussein (Dukun), Datuk Rosyam Nor (KL Special Force), Remy Ishak (Pulang) dan Jalil Hamid (Bisik Pada Langit).
Ketika ditanya perasaannya apabila dapat menewaskan empat pelakon berbakat lain, Sam mempunyai jawapan tersendiri.
"Saya sendiri tak sangka saya menang. Lihat sahaja senarai Top 5, semuanya berpengalaman dan berbakat besar. Saya rasakan ini merupakan rezeki buat saya.
"Terima kasih kepada barisan juri yang menghargai bakat saya dan merasakan saya layak untuk merangkul trofi ini. Mungkin ada sebab tersendiri mengapa saya dipilih," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Sam bersama Zizan Razak, Polis Evo 2 bakal menemui peminat pada 22 November ini.
#Anugerah Skrin #bakat #berat badan #juri #kanser #pelakon #Polis Evo 2 #sakit #Shaheizy Sam
;