Tuntutan ke atas pembukaan lagu 'Stairway to Heaven' memihak kepada Led Zeppelin

Irwan Muhammad Zain
Oktober 6, 2020 14:52 MYT
Selama enam tahun, penyanyi utama Led Zeppelin, Robert Plant dan gitaris Jimmy Page telah dituduh 'mencuri' riff dari sebuah lagu berjudul Taurus - Gambar fail/Facebook Led Zeppelin
TUNTUTAN undang-undang terhadap kumpulan rock legenda dari Britain, Led Zeppelin berakhir apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Isnin menolak untuk mendengar kes yang mendakwa kumpulan itu memplagiat riff gitar pembukaan (intro) dari lagu popular, Stairway to Heaven.
Penolakan itu menjadikan keputusan oleh mahkamah rayuan Amerika Syarikat pada bulan Mac 2020 yang memihak kepada Led Zeppelin dikekalkan.
Selama enam tahun, penyanyi utama Led Zeppelin, Robert Plant dan gitaris Jimmy Page telah dituduh 'mencuri' riff dari sebuah lagu berjudul Taurus, yang ditulis oleh mendiang Randy Wolfe dari kumpulan Spirit.
Wolfe, yang dikenali sebagai Randy California, mati lemas pada tahun 1997, dan kes itu dibawa oleh pemegang amanah hartanya. Ini adalah salah satu kes hak cipta industri muzik yang paling banyak diperhatikan, yang berpotensi menyebabkan kerugian berjuta-juta dolar kepada Plant and Page.
Led Zeppelin merupakan kumpulan pembuka persembahan sebelum kumpulan Spirit dalam jelajah kumpulan itu ke Amerika Syarikat pada tahun 1968, tetapi Page ketika memberi keterangan dalam perbicaraan juri 2016 di Los Angeles mengatakan bahawa dia tidak pernah mendengar lagu Taurus sehinggalah baru-baru ini.
Juri mendapati riff yang mereka dituduh mencuri tidak serupa dengan kord pembukaan lagu "Stairway to Heaven."
Francis Malofiy, yang mewakili waris Wolfe, mengatakan bahawa Led Zeppelin 'menang secara teknikal' dan mengatakan bahawa tuntutan itu telah mencapai tujuan asalnya difailkan.
"Hari ini, dunia mengetahui bahawa: 1) Randy California menulis pengenalan (intro) Stairway to Heaven; 2) Led Zeppelin adalah pencuri seni terhebat sepanjang masa; dan 3) Mahkamah tidak sempurna seperti bintang rock,” katanya seperti dilaporkan Reuters.
Led Zeppelin masih belum mengulas perkara kes tersebut.
#Led Zeppelin #Stairways to Heaven #Robert Plant #Jimmy Page #plagiat #Taurus #spirit #Randy Wolfe
;