'Tunjuk bukti dia hamil anak pemuzik Wings!' - Awie
Gempak
Mei 27, 2018 17:40 MYT
Mei 27, 2018 17:40 MYT
VOKALIS kumpulan Wings, Datuk Awie mengaku bersedia untuk membuat laporan polis ke atas seorang wanita yang mendakwa hamil lima bulan akibat perbuatan salah seorang anggota ahli kumpulan rock legenda itu.
Menurut Awie, sehingga kini dia masih mengumpul bukti dan mengakui perbuatan wanita tersebut dilihat seperti sengaja mahu mencalarkan imej kumpulan mereka, lapor Utusan Online.
“Saya akan tunggu sehingga tempoh yang diberikan padanya tamat sebelum membuat laporan polis kerana dia memalukan kumpulan Wings.
“Semua bukti juga sudah ada. Dakwaan wanita itu membabitkan nama kumpulan Wings dan saya tidak mahu perjuangan Wings selama 33 tahun musnah kerana isu ini.
"Saya pernah bercakap dengan wanita itu yang ‘meroyan’ dan seperti tidak betul. Dia juga mengugut mahu datang buat kacau ketika kami buat persembahan di hotel ini.
“Saya juga mencabarnya jika dia di pihak yang benar, sila buat ujian DNA dan laporan polis, tetapi sampai sekarang tiada sebarang bukti dikemukakan pun,” katanya.
Tambah Awie jika benar salah seorang anggota kumpulan ini melakukan kesalahan, dia tidak akan berselindung untuk membantu mereka yang teranaiya.
Bagaimanapun tuduhan itu perlu disahkan dahulu memandangkan setiap dari anggota Wings juga mempunyai keluarga.