Tunggu di stesen LRT awal pagi, Nabil bantu ibu OKU, anak ke sekolah
Gempak
November 10, 2022 15:08 MYT
November 10, 2022 15:08 MYT
LANJUTAN isu perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) tergendala yang dijangka sehingga 15 November ini, '3 Pagi ERA' yang dikendalilkan Nabil, Pak Azad dan Radin telah membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan pengangkutan.
Pagi tadi Nabil Ahmad sendiri telah pergi ke stesen LRT Ara Damansara dan membantu Puan Uma, seorang ibu yang kurang keupayaan (OKU) cacat penglihatan untuk menghantar anaknya berumur 7 tahun ke sekolah dan seterusnya Puan Uma sendiri ke tempat kerja di Persatuan Orang Buta Malaysia, Brickfields.
Menurut cerita yang dikongsikan kepada Era FM, ia merupakan rutin ibu dan anak itu setiap pagi menaiki pengangkutan awam berkenaan untuk hantar anak ke sekolah kemudian ke tempat kerja.
“Pagi ini Nabil tolong hantarkan Puan Uma dan anaknya. Puan Uma OKU Penglihatan dan setiap pagi selama tujuh tahun dia akan menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja.
“Satu benda hari ini kita orang belajar dengan Puan Uma, kita yang sempurna ini kena sentiasa belajar bersyukur dan kekurangan bukan penghalang untuk meneruskan kehidupan seharian,” tulisnya.
Perkongsian itu dibuat di akaun rasmi Era FM pagi tadi.
Nabil berada di kawan LRT itu sejak awal pagi hingga sekarang membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan pengangkutan untuk ke destinasi mereka terutama ke tempat kerja.
Terdahulu, Rapid KL perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya antara Stesen KLCC dan Kelana Jaya terpaksa dihentikan sekitar 3.30 petang Selasa lalu selepas laluan itu mengalami gangguan teknikal.
Susulan daripada itu sebanyak 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya ditutup bermula Rabu sehingga 15 November depan.
Gangguan perkhidmatan LRT itu melibatkan stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar.
Selain itu, stesen LRT yang tidak beroperasi turut membabitkan stesen KL Sentral, Pasar Seni Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC, dan Ampang Park
Artikel asal disiarkan di Gempak.