Tun Mahathir meminati Hulk
Israr Khalid
Jun 27, 2019 22:34 MYT
Jun 27, 2019 22:34 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga salah seorang daripada peminat Marvel Cinematic Universe (MCU), dan menurutnya beliau menyukai watak gergasi berbadan hijau – Hulk.
“Saya suka yang besar tu, yang pakai kapak. Sebab dia garang,” kata negarawan berusia 93 tahun itu.
Beliau mengambil kesempatan daripada jadual sibuknya untuk bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali merasmikan pameran ‘Marvel Studios: Ten Years of Heroes’ di pusat beli-belah Pavilion di sini hari ini.
Buat pengetahuan anda yang tidak mengikuti filem-filem Marvel Studios, Hulk menggunakan kapak dalam filem 'Thor: Ragnarok' yang diterbitkan pada 2017 semasa pertarungannya dengan Thor.
Ditanya tentang reaksinya terhadap pameran yang dibuka kepada khalayak umum bermula 28 Jun hingga 17 Oktober itu, Dr Mahathir berkata teknologi perfileman dan animasi dunia hari ini sudah berkembang begitu pesat.
“Saya fikir ramai juga akan datang untuk lihat pameran ini. Luar biasa.
“Biasanya mereka lihat karekter ini dalam filem, sekarang mereka boleh tengok ‘real life’,” katanya.
Pameran tersebut dibawakan ke Pavilion KL oleh Walt Disney Company South East Asia bersama Crave Alive serta Beast Kingdom, dengan kerjasama Maybank, Samsung Malaysia dan KLOOK.
Sebagai meraikan keunggulan MCU bermula dari filem Iron Man pada 2008, pameran ini membawakan pengalaman cukup dekat dengan dunia MCU mengikut adiwira-adiwiranya.
“Satu perkara yang anda tidak akan dapat lihat di tempat lain adalah kami membawakan prop asli yang digunakan dalam penggambaran filem-filem MCU. Contohnya sut Black Panther yang pernah dipakai Chadwick Boseman dan tukul Thor yang digunakan oleh Chris Hemsworth,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Crave Alive, Sean Tan.
Sementara itu Pengerusi Eksekutif Crave Alive, Datuk Liew Foo Heen berkata, ini merupakan pameran seumpamanya yang diadakan di Asia Tenggara justeru berharap ia dapat menarik pengunjung dari negara-negara jiran selain peminat tempatan.
“Kami menjangkakan 300,000 pengunjung untuk acara empat bulan ini,” ujarnya.
Selain pameran, pengunjung juga ditawarkan dengan jualan pelbagai cenderahati eksklusif termasuk barangan terpilih yang dijual di Malaysia buat pertama kali.
#Hulk
#Mahathir Mohamad
#Marvel
#Marvel Cinematic Universe
#Marvel Studios Ten Years of Heroes
#MCU
#pameran
#Pavilion
#Perdana Menteri
#walt disney