Tulus kembali ke Malaysia untuk Konsert Jelajah Sewindu
Asyraf Roslan
Julai 3, 2019 09:05 MYT
Julai 3, 2019 09:05 MYT
BANGGA!
Itu merupakan perkataan pertama yang keluar dari mulut penyanyi popular Indonesia, Tulus, apabila ditanya tentang pengalamannya berduet dengan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut Tulus, dia sangat bersyukur apabila dapat berduet dengan penyanyi nombor satu negara di Indonesia, Singapura dan Malaysia.
"Luar biasa dan sangat bersyukur kerana Datuk Seri Siti Nurhaliza, merupakan pemuzik yang sangat diminati di Indonesia secara luas.
"Keluarga saya juga meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza, jadi semasa dapat tahu saya akan berduet dengan beliau, mereka semua sangat gembira. Saya sendiri sangat gembira sehingga hari ini kerana dapat berkolaborasi bersamanya," katanya semasa ditemubual secara eksklusif di Astro AWANI.
Dalam perkembangan terbaru, Tulus bakal kembali ke Malaysia untuk Konsert keduanya di Malaysia iaitu Konsert Jelajah Sewindu pada 3 Ogos ini.
Beliau memberitahu, semasa konsertnya yang diadakan di Istana Budaya tahun lepas dia tidak menjangka mendapat sambutan yang amat memberangsangkan oleh peminat di Malaysia.
Oleh itu, semasa perancangan Konsert Jelajah Sewindu, dia sudah memberitahu pengurusannya untuk memasukkan Malaysia sebagai salah satu destinasi jelajah kali ini.
Anda boleh dapatkan tiket Sewindu Tour di www.MyTicketAsia.com pada harga RM160 (Bronze), RM200 (Silver), RM260 (Gold) , RM360 (Platinum), RM460 (Diamond), RM860 (Meet & Greet)
Saksikan video temubual secara eksklusif bersama Tulus