"Tujuh hari di bawah matahari", filem pendek istimewa dari Astro untuk Aidilfitri 2022
Astro Awani
April 22, 2022 17:25 MYT
April 22, 2022 17:25 MYT
KUALA LUMPUR: Rasa seperti tidak lengkap, tidak berseri Hari Raya Aidilfitri jika tiada ‘iklan raya’ di kaca televisyen saban tahun.
Ada pelbagai versi - sedih, kelakar, inspirasi - disajikan kepada penonton dan tahun ini, Astro Malaysia, sama seperti tahun-tahun sebelumnya tidak ketinggalan menghasilkan karya seumpamanya.
Begitupun, tahun ini Iklan Raya Astro 2022 menampilkan kelainan dengan menghasilkan filem pendek berdurasi 20 minit, berbeza dengan iklan yang dihasilkan sebelum ini.
Pengarah TVC Raya Astro 2022, Razaisyam Rashid berkata, dia mahu penonton menikmati jalan cerita yang lebih panjang, jelas, penuh emosi dan dengan durasi sebegitu, semuanya dapat digarap sebaiknya.
Menurut Razaisyam, filem pendek itu mengisahkan seorang anak muda, Emil yang berdepan pelbagai cabaran selepas dibuang kerja akibat pandemik dan kemudian memutuskan untuk pulang beraya di Perlis dengan menaiki basikal.
“Tempoh iklan ini adalah untuk memberikan penonton pengalaman penuh menyaksikan iklan raya. Sebelum ini ada tiga, lima atau lapan minit tapi tahun ini kita beri 20 minit.
“Saya rasa tiada lagi iklan raya yang tunjuk perjalanan, segalanya, dari Kuala Lumpur sampailah ke Perlis. Itu tidak pernah ditunjukkan lagi sebuah ‘road trip’. Biasa kita nampak iklan, mungkin ada tunjuk balik kampung.
“Tapi perjalanan itu tak tunjuk secara penuh tapi kali ini kita ada masa panjang, kita tunjuk semuanya daripada Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Taiping, Teluk Intan, Lumut, Alor Setar, Sungai Petani sampailah ke Perlis,” katanya.
Karya berjudul “Tujuh hari di bawah matahari” itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nadhir Nasar, Pekin Ibrahim dan Sherie Merlis.
Filem pendek itu akan ditayangkan di Astro Go pada Hari Raya Pertama dan saluran rancangan Melayu yang lain di Astro seperti Astro Ria, Astro Citra dan Astro Prima pada Hari Raya Ketiga.
“Saya harap bila penonton tengok filem pendek ini, mereka akan berasakan sesuatu yang bermakna, masuk ke dalam jiwanya. Itu yang saya rasa paling penting harapan saya.
“Bila orang tengok, mereka bukan sahaja terhibur tapi mereka boleh belajar sesuatu daripada filem pendek ini dan berikan satu kenangan kepada mereka,” ujarnya.
#Astro
#Hari Raya Aidilfitri
#filem pendek
#Pekin Ibrahim
#Sherie Merlis
#Nadhir Nasar
#Tujuh Hari Di Bawah Matahari