Tujuh artis yang 'fed up' dengan lagu sendiri

Agensi
Oktober 28, 2018 09:00 MYT
Celine Dion, Mariah Carey dan Britney Spears antara penyanyi yang tidak suka dengan lagu hits mereka.
MAESTRO muzik, Datuk Ramli MS, beberapa tahun lalu pernah memberitahu, tiket untuk seorang penyanyi itu 'hidup' adalah lagu yang popular.
Penyanyi-penyanyi antarabangsa yang disenaraikan di bawah kesemuanya mempunyai lagu yang bukan sahaja popular, tetapi menjadi trademark mereka.
Ironinya, mereka pula tidak suka, malah ada yang membenci lagu-lagu popular itu. Pelik, tetapi benar.
1. Celine Dion - My Heart Will Go On
Mungkin antara lagu paling popular dalam arena muzik antarabangsa, namun Dion tidak menyukainya. Dion hanya merakam lagu itu sebagai versi demo selepas dipujuk suaminya untuk melakukannya. Versi yang kita semua dengar adalah versi demo, dan versi itulah yang digunakan sehingga hari ini kerana Dion enggan merakamkan lagu itu semula.
"Lagu yang indah, tetapi entah kenapa saya tidak menyukainya," kata Dion dalam satu temuramah selepas lagu itu diterbitkan.
2. Mariah Carey - Hero
Hero merupakan antara lagu terawal yang memperkenalkan Carey sebagai penyanyi wanita terbaik, namun lagu itu sebenarnya ditulis Carey untuk penyanyi Gloria Estefan. Carey enggan menyanyikan lagu itu sendiri kerana pada pendapatnya, lagu itu "bukan dirinya". Carey akhirnya merakam lagu itu selepas menerima gesaan daripada syarikat rakamannya.
"Tetapi kini saya suka lagu itu kerana ia memberi inspirasi kepada peminat-peminat saya," kata Carey dalam temuramah bersama portal Digital Spy.
3. Avril Lavigne - Complicated
Lavigne diperkenalkan ke dunia hiburan menerusi lagu ini, tetapi tuan punya badan sangat jelak dengan lagu ini.
"Saya terpaksa menyanyikan lagu ini kerana ia lagu saya yang paling popular. Hakikatnya, saya sanggup buat apa saja untuk tidak menyanyikannya," kata Avril.
4. Selena Gomez - Come & Get It
Biarpun ia merupakan single pertama daripada albumnya Stars Dance, Gomez sebenarnya tidak suka lagu itu dan menyifatkan ia "kedengaran seperti lagu untuk Rihanna yang kena reject".
5. Britney Spears - Sometimes
Spears pernah berpura-pura terlupa menyanyikan lagu ini dalam satu konsert pada tahun 2004, memaksa peminat mengingatkannya untuk berbuat demikian. Reaksi Spears ketika itu?
"Oh Tuhan, saya tak suka lagu itu."
6. Madonna - Like A Virgin
Lagu ini mungkin antara lagu dengan pembayaran royalti paling tinggi di dunia, tetapi penyanyinya sudah tidak sanggup menyanyikannya. Dalam satu persembahan, ketika diminta menyampaikan lagu tersebut, Madonna dilaporkan berkata, "Bayar AS$30 juta, baru saya akan nyanyi lagu itu. Saya sudah tidak sanggup".
7. Mandy Moore - Candy, I Wanna Be With You, In My Pocket
Lebih dikenali sebagai aktres, mungkin ada yang terlupa Moore memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada era yang sama dengan Britney Spears dan Christina Aguilera. Moore bagaimanapun mahu melupakan dua album terawal yang dirakamkannya, yang mengandungi hits seperti Candy dan I Wanna Be With You.
"Kalaulah saya mampu, saya akan pulangkan duit semua peminat yang beli dua album itu," kata Moore seperti dipetik dalam majalah Glamour.
#Avril Lavigne #britney spears #Celine Dion #Come & Get It #Complicated #hero #Like a Virgin #Madonna #Mandy Moore #mariah carey #My Heart Will Go On #Selena Gomez #Sometimes
;