'Tuhan lepaskan aku dari rantai ini..' - Yasin tulis lagu di Penjara Sungai Buloh

Gempak
Mei 8, 2022 18:39 MYT
Menerusi perkongsian lirik berkenaan, Yasin seperti meminta pertolongan bahawa dirinya mahu dibebaskan dari penjara. - Gempak
PENYANYI Yasin Sulaiman sempat menghasilkan sebuah lagu baharu meskipun berada di sebalik tirai besi di Penjara Sungai Buloh berikutan tuduhan mengedar dadah jenis kanabis.
Lagu baharu berjudul ‘Bebas Aku’ itu dikongsi di laman Instagram miliknya sebentar tadi.
“Lagu ini dicipta oleh Yasin semasa di Penjara Sungai Buloh.
“Yasin meminta lirik lagu ini dikongsikan dalam Instagram untuk sahabat, teman dan peminat,” tulisnya.
Menerusi perkongsian lirik berkenaan, Yasin seperti meminta pertolongan bahawa dirinya mahu dibebaskan dari penjara.
Malah, dia turut memaklumkan bait-bait yang dia baik-baik sahaja dan tidak mahu orang ramai berasa susah hati.
“Kuutuskan kata-kata di sebalik tirai besi, tanpa dapat kutitiskan air mata sepi, bila kukatakan semuanya baik di sini, ku tak ingin engkau rasa susah hati.
“Hatiku berkecai seolah sudah tiada, dan jiwaku ini terus meronta, ingin bebas dan bersamamu semula,” begitulah catatan lirik meruntun jiwa yang dikongsikan di dalam Instagram tersebut.
BACA: Yasin berdepan hukuman mati, mengaku tidak bersalah miliki, tanam ganja
BACA: #solidarityforyasinsulaiman: Keluarga lancar tabung bantuan, biaya kos guaman
Turut dikongsikan adalah kredit hasil ciptaan lagu tersebut yang melodinya tertera bahawa nama Yasin selaku komposer dan penulis lirik dan dibantu oleh Jo Tan di Klinik Penjara Sungai Buloh.
Dalam pada itu juga, turut disertakan waktu lagu tersebut ditulis iaitu pada Syawal 1443 Hijrah bersamaan dengan Mei 2022.
*Artikel asal disiarkan di Gempak
#Yasin Sulaiman #tulis lagu #edar kanabis #Penjara Sungai Buloh #edar ganja
;