'Tuhan jadikan kita untuk saling mengenali, sebab itu anak saya belajar kaligrafi Cina'

Gempak
Ogos 17, 2019 06:08 MYT
Che Amran (kiri) dan Abu Bakar ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi 'Raihan x SugarBomb' di Bandar Bukit Raja, Selangor, pada Sabtu. - Astro GEMPAK
KECOH di semua platform media sosial baru-baru ini berkaitan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Melayu untuk sekolah vernakular.
Ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang membantah, namun apa yang lebih teruk lagi cadangan tersebut telah dijadikan sentimen perkauman oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.
Mengulas mengenai isu tersebut, ahli kumpulan Raihan menyifatkan cadangan tersebut tidak seharusnya dipolitikkan.
Seorang daripada anggotanya, Abu Bakar Md Yatim berkata, dia mempunyai anak lelaki berumur 10 tahun yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
Menurutnya, bukan saja belajar bahasa Cina, malah anaknya turut dihantar ke kelas kaligrafi Cina.
"Sebenarnya bergantung pada persepsi kita. Tulisan bangsa-bangsa lain kita kena belajar, sebab itu Allah jadikan kita berbeza-beza untuk saling kenal mengenali.
"Untuk anak saya dia memang sekolah Cina tapi untuk masuk kelas kaligrafi kena bayar.Tapi tak apa, sebab saya pun minat seni, saya mahu dia belajar seni kaligrafi tersebut," katanya.
BACA: Bukan Melayu juga ikuti kursus seni khat di universiti
BACA: 12 NGO setuju hanya seni tulisan khat diperkenalkan tahun depan
Sementara itu menurut seorang lagi anggota Raihan, Che Amran Idris, tulisan jawi tidak 'meng-Islamkan' mana-mana bangsa.
"Bagi saya satu tulisan itu cara untuk menyampaikan maklumat. Orang Arab ada jawinya kita pun pakai tulisan roman.
"Memang tulisan jawi ni dikaitkan dengan agama, namun jika kita menulis tulisan agama lain pun ia tidak membuatkan kita nak masuk agama mereka.
"Saya rasa ia adalah sentimen yang sengaja digembar-gemburkan," katanya.
Kesemua anggota Raihan ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi 'Raihan x SugarBomb' di Bandar Bukit Raja, Selangor, pada Sabtu.
BACA: Masyarakat luar lebih hargai Raihan? Ini penjelasan mereka selepas didakwa terasa hati
BACA: Meremang bulu roma dengar nyanyian Alif Satar, Raihan
Buat pertama kalinya Raihan muncul dengan produk haruman yang menampilkan tiga wangian berbeza untuk wanita dan lelaki.
Didatangkan dalam tiga varian bagi setiap 6 milliliter (ml), set haruman Adam menampilkan tiga pilihan iaitu Bilal, Zamrud dan Abbas, manakala set Hawa pula menampilkan Wardah, Haura dan Raudhah.
Setiap haruman dijamin 100 peratus tanpa alkohol dan didatangkan dalam botol 6 ml yang dijual pada harga RM50 untuk satu set haruman.
#Abu Bakar Md Yatim #anak #Che Amran Idris #Cina #dipolitikkan #Islam #JAWI #kaligrafi #khat #media sosial #Melayu #Minyak Wangi #produk haruman #Raihan #sekolah vernakular #sentimen perkauman #SJKC #tulisan
;