Tubuh Zamani tidak lagi 'melengkung', tulang belakang berjaya dibetulkan

Astro Awani
November 10, 2022 16:55 MYT
Tubuh Zamani kembali normal selepas pembedahan selama tujuh jam untuk membetulkan tulang belakangnya yang melengkung akibat penyakit scoliosis berjaya.
KUALA LUMPUR: Penderitaan Zamani bertubuh ‘melengkung’ sudah berakhir apabila pembedahan membetulkan tulang belakangnya akibat penyakit scoliosis berjaya.
Bukan hanya tubuh vokalis utama kumpulan Slam itu sudah kembali normal, Zamani juga bahkan sudah boleh berjalan dengan selesa serta sudah dibenarkan keluar hospital.
Berita gembira itu dikongsi oleh isterinya, Nur Juliana Abd Rani di akaun media sosialnya sekitar dua jam lalu.
Dalam hantaran itu, Nur Juliana merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan sebuah hospital swasta yang melakukan pembedahan ke atas suaminya.
Kata Nur Juliana, sepanjang Zamani menerima rawatan, suaminya menerima layanan yang sangat baik.
“Jutaan terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang beliau menjalani pembedahan sehingga ke hari ini,” tulis Nur Juliana lagi.
Dalam masa sama, Nur Juliana mengucapkan terima kasih kepada pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi yang telah merintis inisiatif mencari dana bagi membantu membiayai pembedahan Zamani.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pak Nil (Aznil), semua peminat, pihak media dan para penyumbang dana untuk Zamani. Segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai hingga ke akhir hayat,” kata Nur Juliana lagi.
Pada Isnin lalu, Zamani yang berusia 51 tahun menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit scoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, dekat sini.
Prosedur itu mengambil masa hampir tujuh jam dan penyanyi itu perlu ditidurkan sebelum pembedahan dilakukan.
Zamani juga telah dinasihatkan oleh doctor agar berehat sehingga tiga bulan sebelum kembali bekerja.
"Mengikut penerangan doktor, saya boleh pulih dalam tempoh dua hingga enam minggu bergantung kepada daya ketahanan tubuh.
"Sepanjang tempoh ini, saya perlu mendapatkan rawatan susulan dan menjalani latihan fisioterapi.
"Bagaimanapun, saya akan pulih hingga boleh kembali aktif mungkin memakan masa sehingga tiga bulan. Itupun bergantung pada kekuatan antibodi," kata Zamani seperti dilaporkan media.
#Zamani Slam #badan Zamani melengkung #penyanyi utama Slam #Gerimis Mengundang
;