Tuai Padi (Reborn) antara mata dan telinga
Magnus Azami
Julai 3, 2018 11:05 MYT
Julai 3, 2018 11:05 MYT
BERMULA dari 1997, Padi mula menjelajah pendengar di rantau pengguna bahasa melayu dengan gaya lagu, lirik dan bait puisi cinta yang bersifat tunduk-runduknya sang pepohon padi.
Band ini juga mudah menambat hati anak-anak muda ketika itu yang pernah, sedang dan mungkin akan patah hati. Setelah tujuh tahun menyepi dari industri muzik dan hampir 10 tahun tidak menemui ‘Sobat’ mereka di Malaysia, kini mereka kembali ke KL Live, Kuala Lumpur pada 30 Jun lalu dengan penjenamaan semula Padi Reborn.
Panggung dibuka tepat jam 8 malam dengan kumpulan psikadelik nusantara rock tempatan Pitahati. Gandingan lima anak muda yang siap lengkap dengan “arsenal” mereka ini memulakan persembahan dengan lagu Melayar, Burung Dalam Kaca. Irama moderate yang mampu memanaskan pentas secara berfasa. Ilham, penyanyi utama kelihatan bersahaja dan tidak kekok berhadapan dengan dua ribu peminat teras-keras Padi.
Pentas dihangatkan lagi dengan karya mereka sendiri berjudul Hafiz Sufian, Nafas dan Cahaya Dalam Buta, lagu-lagu yang mungkin asing buat penonton yang rata-ratanya berumur 30-40an. Pitahati menyulam-tenun bunyi, kata dan cahaya dengan susuncara yang amat unik.
Tidak salah kalau digambarkan persembahan mereka ini bagai siur-kekecohan yang tersusun rapi. Diharapkan persembahan ini dapat membuka ruang hati buat ‘abang-abang’ dan ‘kakak-kakak’ yang hadir.
Setlist mereka ditamatkan dengan lagu Bintang Biru Kristal Salju, antara lagu yang popular di kalangan peminat muzik tempatan, malah kelihatan Fadly (penyanyi Padi) juga menghayati dan terhibur dengan Pitahati.
Biarpun terdapat masalah teknikal dan juga penata bunyi yang kurang seimbang ternyata band asal Sungai Buloh ini memberikan persembahan yang membanggakan. Dengan membawa genre muzik yang kontras dengan Padi, mereka telah menyuntik faktor kepelbagian dalam showcase ini.
Berakhirnya Pitahati penonton mulai resah dan menjeritkan nama Padi berulang-ulang kali sehinggakan pengacara terpaksa menenangkan mereka sementara krew menyiapkan susun atur pentas.
Persembahan bermula dengan montaj Padi Reborn berserta ketukan genderang padu dari Yoyo melancarkan lagu Sang Penghibur dan Lingkaran, penonton ikut menyanyi disamping terpesona dengan persembahan backdrop dan penata cahaya yang memukau.
Apabila Ari mula memainkan intro lagu Begitu Indah hampir kesemua para Sobat Padi hilang kawalan dan alunan suara mereka bergema mengegarkan ruang dewan KL Live dengan korus lagu tersebut. Padi terus mengekalkan momentum mereka dengan Mahadewi, Ternyata Cinta dan lagu antem kehilangan Semua Tak Sama. Lagu-lagu mengguris hati Seperti Kekasih, Menanti Sebuah Jawapan dan Tempat Terakhir dilihat memenuhi ruang emosi para penonton.
Padi juga memberi penghormatan pada drummer cilik tempatan adik Nur Amira Syahira untuk bersama mereka bermain lagu Bayangkanlah, satu peluang yang baik buat artis terkemuka Youtube di pentas ini.
Selesai lagu Harmony, Fadly berdiam sebentar sebelum berkata “Sebuah lagu paling sedih” sambil mengalunkan bait lagu Rapuh dan sekali lagi penonton terpaku menghayati karya tersebut.
Sebelum meneruskan persembahan Padi menjemput Aizat Amdan untuk berduet lagu Kasih Tak Sampai. Ternyata Aizat memberikan persembahan yang sangat baik. Sempat juga Fadly minta Aizat mendendangkan lagu terbarunya Sampai Hari Tua secara akustik, ada juga penonton yang turut bersama menyanyi lagu beliau, satu petanda yang baik buat Aizat.
Suasana di dewan KL Live bergegar sekali lagi bila lagu bertempo rancak dari OST Upin dan Ipin, Sahabat Selamanya dimainkan, terdengar ada yang berkata “anak aku suka sangat lagu ni”. Sesuatu Yang Indah garapan Piyu disusuli dengan lagu Sobat mengakhiri susunan persembahan mereka.
Namun penonton tidak berganjak dan berteriak “We Want More” berulang kali. Terbayang keterujaan di raut wajah pada setiap anggota Padi lalu mereka kembali dan menyempurnakan konsert tersebut dengan encore lagu Hitam.
Secara keseluruhanya konsert ini amat berjaya dan menghiburkan, rata-rata yang hadir tersenyum kepuasan. Kalau dilihat dari sudut yang lain konsert ini juga merupakan perhimpunan reunion buat handai-taulan yang suatu ketika dahulu pernah bersahabat, kebanyakannya bertegur-sapa dan bertanya khabar.
Terima kasih pada Fadly, Piyu, Ari, Rindra dan Yoyo yang hadir mengubat rindu pada para Sobat di Malaysia. Tahniah buat penganjur Qew Communications Sdn. Bhd dan juga para personel yang terlibat dalam menjayakan Konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL.