Trump 'perguna' Taylor Swift tarik undi

Agensi
Ogos 20, 2024 15:11 MYT
Swift (kanan) pernah mengkritik Trump dalam dokumentarinya yang diterbitkan pada 2020. - Reuters
DONALD TRUMP menggunakan imej palsu bintang pop Taylor Swift yang dihasilkan menggunakan teknologi AI, bagi meminta orang ramai mengundinya dalam pilihan raya November depan.
Entri calon Republikan itu di Truth Social menunjukkan Swift dalam pakaian dengan warna bendera Amerika Syarikat, dengan kapsyen "Taylor Swift Mahu Anda Mengundi Donald Trump".
Swift tidak pernah menyatakan sokongan secara terbuka terhadap mana-mana calon dalam pilihan raya kali ini, tetapi pernah mengakui penyokong Demokrat pada pilihan raya terdahulu.
Penyanyi itu menyokong Presiden Joe Biden dan Kamala Harris pada 2020. Swift juga pernah mengkritik Trump dalam dokumentarinya yang diterbitkan pada 2020.
Pihak Swift belum memberi reaksi berhubung perkara itu.
"Swifties For Trump adalah gerakan besar-besaran yang berkembang setiap hari," kata jurucakap kempen Trump, Steven Cheung dalam satu kenyataan apabila diminta mengulas isu penggunaan imej palsu Swift.
Aktivis industri muzik, Hollywood dan Washington sebelum ini telah mendesak agar undang-undang persekutuan dilaksanakan untuk melawan penggunaan imej palsu AI dalam talian.
"Tindakan Trump adalah satu lagi contoh bagaimana kuasa AI digunakan untuk mengelirukan dan memberi maklumat yang tidak tepat.
"Potensi kemudaratan kepada masyarakat yang boleh berpunca daripada maklumat yang salah, termasuk dalam pilihan raya, adalah sangat teruk," kata kumpulan aktivis awam, Public Citizen.
#Donald Trump #Taylor Swift #pilihan raya #Amerika Syarikat #Kamala Harris #Joe Biden #pilihan raya presiden