Tropfest SEA 2014 julang karya filem pendek Asia Tenggara
Aizat Sharif
Januari 17, 2014 12:20 MYT
Januari 17, 2014 12:20 MYT
Keghairahan untuk menghasilkan karya-karya kreatif menerusi filem pendek membuatkan pengarah-pengarah muda tercari-cari platform yang sesuai untuk menonjolkan karya-karya mereka.
Namun, dengan penganjuran Tropfest Asia Tenggara 2014, karya-karya filem pendek tempatan bukan sahaja dapat dinilai malah ianya juga dapat bersaing dengan filem-filem pendek dari rantau ini.
Pengarah Urusan Tropfest SEA 2014, Joe Sidek berkata beliau terpanggil untuk berbuat demikian dan telah bertemu dengan pengasas Tropfest, John Polson di New York.
“Tropfest merupakan Festival Filem Pendek Terbesar di Dunia dan saya telah bertemu John Polson di New York untuk membawa francais festival tersebut ke Asia Tenggara. Saya percaya di Asia Tenggara ini ramai orang yang kreatif dan berbakat tetapi tiada platform untuk mereka menunjukkan hasil karya kreatif mereka,”.
Beliau menambah, karya-karya kreatif filem pendek ini juga sangat lain dari yang lain karya yang pernah dihasilkan dan platform Tropfest SEA 2014 ini adalah peluang kepada pengarah-pengarah muda di rantau ini.
“Walaupun di Asia Tenggara ini, sudut perlambangan budayanya tidak jauh berbeza namun garapan dari sudut penghasilan karya-karya filem pendek oleh pengarah-pengarah muda ini adalah sangat berbeza sama sekali,” kata Joe.
“Industri filem di China dan India tidak mungkin akan membantu Asia Tenggara dalam penghasilan karya-karya kreatif ini dan rujukan kami adalah di Australia di mana festival ini bermula dan saya telah meminta mereka supaya membantu kita dalam menunjuk arah dalam penghasilan karya-karya kreatif seperti ‘art film’ atau filem ‘indie’ yang bermutu dan mampu diangkat hingga ke Hollywood,”.
Dalam festival ini juga, beras dijadikan sebagai asas bagi setiap penghasilan filem tersebut.
Sementara itu, pengarah muda, Sean Kook yang tampil dengan karyanya ‘Grateful Moment’ berpendapat dengan adanya platform seperti ini ianya dapat menunjukkan ekspresi pengarah-pengarah muda dalam menghasilkan karya-karya kreatif.
“Bagi saya kekuatan budaya kita yang sangat istimewa yang masih belum banyak ditonjolkan kepada dunia dan kita boleh menggunakan karya-karya filem pendek ini sebagai caranya,” kata Sean.
Temannya, CJ Lee Cheng Jen yang muncul dengan karyanya ‘The Strange Detective’ dan Ezequiel Paolinelli yang menghasilkan filem pendek berjudul ‘The Last Flight’ pula berkata tiada peruntukkan kewangan membuat filem membuatkan mereka lebih selesa berkaya dengan filem-filem berbentuk ‘indie’ atau filem pendek.
“Filem di Malaysia apa yang saya dapat lihat lebih kepada ‘copy and paste’ dan kita masih lagi tiada kekuatan kita tersendiri dan kita seharusnya mencari apa yang kita hendak tampilkan melalui filem itu,” kata CJ Lee.
“Setiap tahun saya akan menghasilkan satu filem pendek dengan hanya menggunakan kamera DSLR saya,” katanya lagi.
Mereka menjadi tetamu rancangan Agenda AWANI terbitan Astro AWANI semalam.
Tropfest SEA 2014 akan diadakan di The Espanade, Pulau Pinang pada 24 Januari ini dan menyaksikan 12 filem pendek karya-karya pengarah-pengarah muda dari Malaysia, Thailand, Kemboja dan Filipina akan diketengahkan kepada umum pada hari tersebut.