Tribut Datuk DJ Dave buat MH17, MH370
Sharon Oai Shu Chin
September 25, 2014 08:03 MYT
September 25, 2014 08:03 MYT
Hasil jualan single terbaru Datuk DJ Dave “Di Pertemuan Abadi” dan nada dering pemanggil bagi lagu ini akan disumbangkan kepada keluarga mangsa nahas MH17 dan MH370.
Lirik lagu ini ditulis oleh penulis lirik Habsah Hassan dengan menggunakan lima perkataan untuk mendapat ilham, iaitu redha, Tuhan, pasrah, keluarga dan harapan.
Dengan penghasilan lagu ini, DJ Dave berharap dapat memberi sokongan kepada keluarga mangsa MH370 bahawa ahli keluarga mereka akan bertemu lagi pada satu hari nanti.
"Ini adalah harapan saya dan doa saya ahli keluarga tidak putus harapan untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing," kata DJ Dave.
Tambahnya, nada dering pemanggil ini boleh dibeli secara terus melalui syarikat telekomunikasi utama, iaitu Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile.
Single terbaru ini telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di pejabat Menteri Komunikasi dan Multimedia pada Rabu ini.
“Pelancaran single ini telah membekalkan satu kaedah yang mudah bagi orang ramai memberi sumbangan kepada mangsa MH17 dan MH370 kerana selama ini, tiada saluran yang bagus untuk orang ramai melakukan dermaan,” kata Ahmad Shabery selepas majlis pelancaran hari ini.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh pihak dari syarikat-syarikat korporat yang menyalurkan sumbangan derma kepada pihak MAS, iaitu Colin Edmonds dari Direktor KL Sogo, Abdullah Samah dari KPMG, Suresh Bose dari Bina Puri Holdings Berhad dan Shamrat Sen Gupta dari S & S Quest Resources Sdn Bhd.