'Tony Stark' Malaysia nafi buat pembedahan plastik
Hasimi Muhamad
Oktober 13, 2019 12:00 MYT
Oktober 13, 2019 12:00 MYT
Kemunculan semula vokalis Visa, Sham selepas dikhabarkan sudah “cuci tangan” dalam industri hiburan tanah air nampaknya diterima baik oleh para peminat.
Tampil dengan imej berkumis dan mengenakan cermin mata bulat, penyanyi berusia 43 tahun itu kini diberi jolokan baru iaitu Tony Stark, watak yang dilakon pelakon antarabangsa terkenal, Downey Jr.
Bagaimanapun, sebagai anak seni, beliau juga tidak terlepas daripada kontroversi apabila Sham atau nama sebenar Roshiham Hashim didakwa melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan seiras watak filem adiwira Iron Man itu.
“Saya tak boleh nak komen banyak mengenai perkara itu. Ada yang kata saya membuat pembedahan plastik tetapi saya nak berterima kasih kepada ayah saya lah yang bagi ini (raut wajah),” katanya.
Sham berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI pada sesi raptai menjelang konsert Gegar Vaganza musim keenam (GV6) di Auditorium MBSA, di sini, pada Sabtu.
Enggan mengambil pusing mengenai dakwaan tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu “Dalam Gerimis” itu menambah, fokusnya kini adalah untuk memberikan persembahan yang terbaik bagi mengubat rindu kepada peminat.
“Memandangkan saya sudah lama tinggal bidang nyanyian, jadi saya kena tumpukan banyak perhatian kepada nyanyian, latihan vokal dan perkara-perkara lain.
“Sebab utama kenapa saya bersetuju untuk menyertai GV6 adalah kerana pendengar-pendengar Sham yang minta Sham untuk nyanyi balik. Jadi, atas dasar itu saya kembali menyanyi,” katanya.
Sham Visa merupakan antara 13 peserta GV6 yang bakal bersaing bagi merebut gelaran juara program realiti itu.
Turut berentap adalah Roy, Jatt Ali, Wann, Noorshila Amin, Hady Mirza, Mazleela, Feeza, Nurfatima, Naqiu Boboy, Ameer Sofazr, Hady Mirza dan dua kumpulan duo iaitu Kool dan One Nation Emcees.
One Nation Emcees turut menampilkan penyanyi solo kelahiran Sabah, Sabhi Saddi, sebagai salah seorang anggota kumpulan mereka.
GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober ini dan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan disiarkan di saluran Astro Ria (104), Ria HD (123) dan Astro Go setiap Ahad pukul 9 malam.