Tony Eusoff dituduh miliki dadah di Singapura

Astro Awani
April 1, 2016 18:09 MYT
Tony dipercayai memiliki satu paket yang mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram cebisan bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi campuran ganja.
Pelakon dan penyanyi, Pelakon Tony Eusoff dihadapkan ke mahkamah Singapura pada Khamis selepas dipercayai memiliki dadah, lapor portal Berita Harian Singapura.
Tony atau nama sebenarnya sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 38, didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Memetik laporan portal berkenaan, Tony dipercayai memiliki satu paket yang mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram cebisan bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi campuran ganja.
Dia didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.
Tony dipercayai berada di Singapura bagi menjalani penggambaran drama The Hush terbitan Weiyu Films, yang akan ditayangkan pada Mei ini.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda sehingga $20,000 dolar Singapura (RM57,775) atau kedua-duanya sekali.
Sebutan semula kes berkenaan akan dibuat di Mahkamah Negara, Singapura pada 12 April ini.
#Dadah #Singapura #Tony Eusoff
;