Tombiruo: Farid Kamil berdepan cabaran untuk hidupkan watak Amiruddin

Gempak
Ogos 24, 2016 12:46 MYT
FARID: Satu cabaran untuk pelakon dalam membentuk dan menghidupkan sesuatu karakter agar sama seperti dibayangkan oleh penonton.
PELAKON Farid Kamil menyahut cabaran untuk berhadapan dengan jangkaan pembaca novel dalam menghidupkan watak Amiruddin menerusi filem terbaharu terbitan Astro Shaw, Tombiruo.

"Menerusi sebuah filem adaptasi novel, saya perlu berhadapan dengan jangkaan orang. Watak yang ingin dilakonkan sudah hidup dalam pemikiran pembaca.

"Jadi, perkara tersebut menjadi satu cabaran untuk pelakon dalam membentuk dan menghidupkan sesuatu karakter agar sama seperti dibayangkan oleh penonton," kata Farid kepada Astro Gempak.

Mengakui yang dirinya tidak membaca novel tersebut, Farid mendapatkan sudut pandang bagaimana untuk menghidupkan watak Amiruddin daripada penulis novelnya sendiri, Ramlee Awang Murshid.

"Menerusi watak Amiruddin, banyak input baharu yang saya dapat. Bayangan setiap pembaca novel berbeza. Saya tak pernah membaca novel ini dan mengambil skrip sebagai panduan.

"Saya juga bertemu dengan Ramlee dan saya bertanya kepadanya perihal karakter Amiruddin kerana bagi saya, penilaian dia adalah yang paling hampir dengan apa yang dimahukan oleh semua pembaca," katanya lagi.

Selain Farid, Tombiruo turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

Sudah memasuki minggu keempat penggambaran, filem ini diarahkan oleh Nasir Jani dan Seth Larney.

BACA: Peminat Tak Sabar Nak Tahu Siapa Hero Tombiruo

BACA: Zul Ariffin Turun 13kg, Bina Six Pack Demi Tombiruo

#adaptasi novel #berita hiburan #Farid Kamil #filem Malaysia #filem Tombiruo #Ramlee Awang Murshid
;