Tom Hanks jadi hos program khas meraikan hari angkat sumpah Joe Biden
Agensi
Januari 14, 2021 13:29 MYT
Januari 14, 2021 13:29 MYT
LOS ANGELES: Pelakon ternama, Tom Hanks, akan menjalankan tugas selaku pengacara dalam siaran khas waktu perdana di televisyen pada 20 Januari ini sempena upacara angkat sumpah Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Reuters yang memetik kenyataan daripada jawatankuasa Biden melaporkan, program berdurasi 90 minit Celebrating America itu juga bakal menghadirkan selebriti seperti Jon Bon Jovi, Demi Lovato, Justin Timberlake dan Ant Clemons.
Dalam majlis itu, gandingan Demokrat, Biden dan Kamala Harris, yang pada awal hari akan mengangkat sumpah sebagai Presiden dan Naib Presiden, juga akan menyampaikan ucapan.
Jawatankuasa Biden bagaimanapun telah meringkaskan majlis besar itu kepada penganjuran yang sederhana berikutan ancaman pandemik COVID-19. Antara yang tidak dijalankan kali ini adalah perarakan dan majlis keraian malam yang lazimnya dilakukan di Washington.
Program khas televisyen itu akan menampilkan penyatuan, keperwiraan, keteguhan dan komitmen rakyat Amerika untuk pulih dan membangun semula, kata jawatankuasa tersebut.
Program itu akan disiarkan di rangkaian saluran CBS, ABC, CNN, NBC dan MSNBC, selain distrim secara langsung di YouTube, Facebook, Twitter dan beberapa lagi platform dalam talian.
#Tom Hanks
#Joe Biden
#angkat sumpah
#Majlis Khas
#Kamala Harris
#selebriti
#Washington
#Presiden Amerika
#upacara khas