'Tolonglah ambil vaksin.. Saya sudah lalui pengalaman menakutkan' - Hani Nazrina
Raja Hisyam Raja Zaid
September 23, 2021 16:47 MYT
September 23, 2021 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada siapa yang mahu mendedahkan dirinya pernah terdedah kepada jangkitan COVID-19, wabak yang yang paling digeruni ketika ini.
Namun, situasi pandemik yang mengancam penduduk sedunia ketika ini tidak banyak memberikan ruang untuk kita mengelakkannya secara total.
Begitulah yang berlaku kepada pelakon Hani Nazrina Hanizar, 26 tahun, yang dikesan positif virus itu pada 10 Ogos lalu.
Anak kelahiran Perlis yang juga seorang Instafamous itu dipercayai dijangkiti COVID-19 ketika keluar ke pasar raya untuk membeli barang keperluan harian berhampiran kediamannya di Subang.
“Tiga hari selepas keluar beli barang, tiba-tiba saya demam dan sakit tekak. Paling dirasai apabila badan mula rasa sengal-sengal.
“Dekat rumah saya memang dah ada kit ujian dan malam tu saya cuba buat ujian dan ternyata positif. Agak panik jugalah mulanya, ditambah dengan rasa lemah dan adakalanya rasa tercungap. Ia agak menakutkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Dia kemudiannya menjalani ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan disahkan positif.
“Saya kemudiannya mendaftar di salah sebuah Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) swasta di Petaling Jaya sebelum mereka memberi penerangan tentang prosedur dan langkah-langkah yang perlu dilakukan selepas itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik." jelasnya.
Bagaimanapun, jelasnya yang sudah menerima vaksinasi berkata, simptom yang dihadapinya itu boleh dikatakan kurang dan cepat sembuh berbanding mereka yang tidak langsung divaksin.
Katanya, dia diminta menjalani tempoh kuarantin di rumahnya sahaja tetapi perlu melakukan kemas kini dalam aplikasi MySejahtera setiap masa bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau keadaan kesihatannya.
Pelakon drama Shhh I Love You, Red Velvet dan Nota Buat Cempaka itu bagaimanapun mengakui bahawa melalui pengalaman dijangkiti COVID-19 adalah sesuatu yang menakutkan memandangkan ia telah mengorbankan banyak nyawa.
“Memang takut, tapi nasib baiklah ramai yang memberi sokongan... daripada keluarga dan rakan-rakan. Ada yang selalu bertanya khabar dan menghantar makanan dan sebagainya sepanjang saya melalui tempoh kuarantin," katanya.
Pemegang Ijazah Sains Aktuari itu bersyukur dia mampu melalui pengalaman tersebut dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang menyediakan suntikan vaksinasi secara percuma kepada rakyat Malaysia.
“Saya nak ambil peluang ini nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak. Kepada mereka yang masih belum ambil vaksin, silalah berbuat demikian.
“Mereka mungkin tidak sedar dan faham bahaya sebenarnya yang mampu diakibatkan oleh COVID-19 kerana tidak melaluinya.
"Tetapi apa yang mampu saya katakan, vaksinasi yang diberikan itulah mungkin telah menyelamatkan nyawa saya, dan tentunya saya bersyukur pada Tuhan atas kesembuhan yang diberikan-Nya," jelasnya penuh harapan agar mereka yang belum divaksin segera mendapatkannya.