"Tolong jangan tertipu!" - nasihat Siti Nurhaliza buat peminat
Faris Danial Razi
Mac 6, 2019 16:00 MYT
Mac 6, 2019 16:00 MYT
PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penjualan tiket konsert solonya yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 Mac ini oleh scammer.
Menerusi entri di laman Instagram peribadinya, buah hati kesayangan Malaysia itu menjelaskan, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual tiket sedangkan semua tiket konsert berkenaan telah habis dijual.
"Saya mendapat aduan daripada peminat bahawa ada scammer yang menjual tiket konsert.
"Tolong jangan tertipu, kerana tiket konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour telah habis dijual di www.myticket.asia.
"Jangan terpedaya dengan scammer yang menjual tiket konsert saya. Hati-hati ya," tulis penyanyi lagu Anta Permana itu lagi.
Sementara itu, pengurus peribadi Siti Nurhaliza, Rozi Abd. Razak berkata, akibat tertipu dengan tawaran pihak tidak bertanggungjawab itu, beberapa peminat penyanyi berkenaan sudah memindahkan wang ke akaun scammer.
Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima, tidak lama selepas memindahkan wang, baru peminat-peminat Siti Nurhaliza menyedari yang mereka sudah tertipu.
Rozi mengakui, konsert solo Siti Nurhaliza kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat dari seluruh negara dan kerana itu scammer untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan cara tidak bertanggungjawab.
Siti Nurhaliza akan mengadakan konsert solonya di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 16 Mac ini iaitu konsert ketiga dalam siri jelajahnya.
Sebelum ini, penyanyi berusia 40 tahun itu beraksi di Jakarta, Indonesia pada 21 Februari lalu dan di Singapura pada 2 Mac lalu.
#Anta Permana
#Asia
#Instagram
#konsert
#Kuala Lumpur
#Siti Nurhaliza
#Tolong jangan tertipu - nasihat Siti Nurhaliza buat peminat