'Tolong jangan jerit' - Isteri Bruce Willis rayu paparazzi hormati keadaan suami
Agensi
Mac 10, 2023 19:48 MYT
Mac 10, 2023 19:48 MYT
LOS ANGELES: Isteri kepada aktor Hollywood, Bruce Willis, Emma Heming Willis dilaporkan merayu kepada sekumpulan paparazi yang bertindak mengejar suaminya, baru-baru ini.
Menerusi Instagramnya, Emma meluahkan kekecewaannya apabila segelintir jurugambar dan juruvideo menjerit kepada pelakon Die Hard itu ketika meluangkan masa bersama yang tersayang di tempat awam.
Februari lalu, keluarga Willis mendedahkan keadaan kesihatan terkini Bruce yang merosot apabila kondisi afasia (masalah berkomunikasi) yang dihidapi pelakon itu kini di peringkat lebih parah iaitu frontoremporal demensia (FTD).
"Gambar dan video ini akan sampai kepada jurugambar dan mereka yang cuba mendapatkan visual eksklusif suami saya.
"Jaga jarak anda. Saya tahu ini adalah tugas awak, tetapi tolong jangan menjerit pada suami saya dan bertanya khabar dia atau apa sahaja ... jangan lakukannya, OK?
"Beri dia ruang, benarkan keluarga kami atau sesiapa sahaja yang bersamanya pada hari itu dalam memastikan dia dapat bergerak dari titik A ke titik B dengan selamat. Itu pesanan dari saya,” katanya di Instagram.
Namun begitu, kenyataan Emma disalah erti apabila sebuah video Bruce sedang menikmati kopi dengan rakan-rakan yang berdiri untuk melindunginya menjadi tajuk media.
“Jika anda seorang yang menjaga seseorang yang mengalami demensia, anda tahu betapa sukar dan tertekannya untuk membawa dan mengemudi mereka di luar dengan selamat. Walaupun hanya untuk mendapatkan secawan kopi,” balas Emma.