'Tolong buang sampah, hantar makanan' - Alif Satar terharu jiran murah hati

Astro Awani
November 29, 2020 08:00 MYT
Alif Satar yang kini sedang berada dalam tempoh kuarantin akibat COVID-19 sekali lagi menyatakan rasa terharu atas sifat pemurah jiran tetangga yang menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepadanya. -Instagram
SELEBRITI serba boleh, Alif Satar yang kini berada dalam tempoh kuarantin akibat COVID-19 sekali lagi menyatakan rasa terharu atas sifat pemurah jiran tetangga yang menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepadanya.
Perkara tersebut dikongsi pemilik dengan nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 30, selepas memuat naik gambar sumbangan makanan daripada jiran di laman Instagram miliknya.
“Alif sangat terharu. Jiran Alif ambil maklum tentang situasi keluarga Alif sekarang dengan isteri dan anak-anak Alif perlu kuarantin.
“Mereka semua menawarkan bantuan, ada yang ingin bantu dengan membuangkan sampah, menghantarkan makanan.
"Ini baru betul #KitaJagaKita," jelasnya.
Dalam pada itu, Alif mengucapkan terima kasih kepada yang berkenaan sambil menyifatkan perlakuan mereka itu sebagai bukti nilai kemanusiaan yang baik masih wujud.
“Terima kasih MD Community, anda tahu siapa anda, faith in humanity restored.
“Ada hamba Allah nama Aziz dan Arsyad memberi hidangan nanas masak lemak dan salah seorang jiran kami, Jasmine tinggalkan depan pintu.
“Ini dia... contoh #KitaJagaKita. Alhamdulillah komuniti jiran tetangga Alif sangat ‘supportive’, memahami dan membantu dalam kesusahan,” jelasnya.
Terdahulu, isteri penyanyi, Alif iaitu Sha Dila Hadid dan tiga anak mereka, Alisha Anugerah, 5; Ariana Mecca, 3; dan Muhammad Ali, 1, disahkan negatif COVID-19 selepas membuat ujian saringan pada Isnin.
Sebelum ini, Alif turut menyatakan rasa terharu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudi bertanya khabar kepadanya.
Alif turut berterima kasih atas keprihatinan Dr Zulkifli yang mendoakan kesihatannya menerusi aplikasi panggilan video FaceTime.
BACA: Alif Satar terharu Dr Zulkifli bertanya khabar tentang kesihatannya
#Alif Satar #jiran tetangga #sumbangan #bantuan makanan #kuarantin #ujian saringan #COVID-19 #Instagram #keluarga
;