Tolak banyak tawaran kerana kurang sihat, semangat Daud Kilau untuk menyanyi masih tinggi

Bernama
November 26, 2019 16:07 MYT
Sekalipun keadaan kesihatan kurang memberangsangkan, namun M Daud Kilau masih bersemangat, dan tidak pernah sesekali berhasrat untuk berundur daripada industri hiburan. - Gambar BERNAMA
Penghibur yang terkenal dengan gelaran Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau mengaku beliau terpaksa menolak puluhan tawaran menyanyi termasuk dari Singapura dan Brunei selepas tahap kesihatannya semakin merosot sejak tiga tahun lepas.
Pelantun yang terkenal dengan lagu Sirih Pinang dan Cek Mek Molek itu, bagaimanapun tetap terus bersemangat, dan tidak pernah sesekali berhasrat untuk berundur daripada industri hiburan.
Menurut M Daud Kilau atau nama sebenarnya, Muhammad Daud Kilau, 79, beliau sangat merindui untuk menggayakan baju labucinya sambil bergelek beraksi di atas pentas kerana bidang itu sudah sebati dalam dirinya sejak era tahun 60-an lagi.
"Sekarang ini saya tidak boleh berdiri lama, malah saya juga ada penyakit kencing manis, darah tinggi, kebas kaki dan tangan serta pinggang juga sakit," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh, di sini.
BACA: "Saya dah tak larat, tak mampu bergelek lagi" - khabar terkini M Daud Kilau
"Ada juga pihak produksi yang menjemput saya, dan beritahu saya tak perlu berdiri semasa buat persembahan, maknanya secara duduk saja tetapi bagi saya mana boleh. Penonton sudah tahu M. Daud Kilau aktif di atas pentas, kalau duduk saja, tak sedaplah," tambah beliau lagi.
M. Daud Kilau berkata, beliau akan kembali ke pentas sebaik sahaja keadaan kesihatannya beransur pulih demi memenuhi hasrat peminat yang merindui persembahannya.
"Ibarat irama dan lagu, saya dengan bidang nyanyian tidak boleh dipisahkan biarpun saya pernah berhasrat untuk berhenti menyanyi beberapa tahun yang lalu, namun saya mendapati rezeki saya panjang dalam bidang ini.
"Apa-apa pun saya berharap peminat dapt mendoakan saya dan saya akan kembali semula menerima tawaran untuk menyanyi apabila sihat nanti," katanya.
Menceritakan perkembangan dirinya, Raja Gelek itu berkata, dia kini sering mendapatkan rawatan susulan di Hospital Teluk Intan dan Klinik Kesihatan Bagan Datuk, dengan ditemani isterinya Datin Rohani Awang Ngah, 62.
"Buat masa sekarang saya tak buat apa-apa aktiviti hanya beribadah dan suka menghabiskan masa membantu isteri memasak di dapur. Kalau rindu saya akan nyanyi lagu-lagu sendiri di rumah, dengar cakera padat (CD) dan lihat album untuk mengimbau kenangan," katanya yang mengusahakan inap desa Sri Balai sejak dua tahun lepas.
Karier nyanyian M. Daud Kilau bermula selepas menjuarai Bintang Radio pada 1968 dan namanya sangat masyhur menerusi lagu popular, Cek Mek Molek. - BERNAMA
#Cek Mek Molek #M Daud Kilau #penyanyi #Raja Gelek
;