Tok Ram kata Farawahida nyanyi sumbang, ini penjelasan tuan punya badan

Gempak
November 5, 2018 16:00 MYT
Kata Farawahida, dia lebih berhati-hati pada bahagian awal lagu hingga gagal menyelamatkan beberapa bahagian terakhir lagu tersebut ketika konsert suku akhir GV5 malam tadi. -Foto Gempak
PENYANYI Farawahida mengakui tugasan untuk menyanyikan lagu Ayat-Ayat Cinta milik penyanyi asal Datuk Seri Rossa bukannya mudah.
Kata Farawahida, dia lebih berhati-hati pada bahagian awal lagu hingga gagal menyelamatkan beberapa bahagian terakhir lagu tersebut ketika konsert suku akhir GV5 malam tadi.
Natijahnya, penyanyi bersuara lunak itu tersingkir sebelum mara ke separuh akhir GV5 minggu hadapan.
"Saya akui lagu ini sangat susah, apabila mendapat lagu yang menuntut saya menyalurkan emosi secara lembut dan halus ini menjadi cabaran besar bagi saya.
"Kerana itulah saya berhati-hati pada bahagian awal lagu, namun banyak buat salah pada bahagian belakang pula.
"Apapun, saya percaya pada rezeki. Dapat berada di GV5 pun sudah sangat syukur sebab ramai yang mahu menyertai GV setiap tahun.
"Adat bertanding, ada rezeki adalah," katanya kepada Gempak sekali gus menjawab komen juri utama, Datuk Ramli MS mengenai nyanyian sumbangnya malam tadi.
Minggu suku akhir menyaksikan Amelina kembali berada di kedudukan teratas diikuti Billy Zulkarnain dan Zamani.
Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
#Amelina #Ayat-Ayat Cinta #Billy Zulkarnain #Farawahida #GV5 #konsert #Ramli MS #ROSSA #Zamani
;