“Tohmahan Fazura untuk malukan saya” - Fattah terkejut dakwaan bekas isteri
Faida Rahim
Oktober 7, 2024 12:14 MYT
Oktober 7, 2024 12:14 MYT
SHAH ALAM: Aktor terkenal, Fattah Amin terkejut dengan kenyataan bekas isterinya, Fazura yang mendakwa dia curang dan tidak melunaskan nafkah.
Menurut Fattah, tuduhan curang sama sekali tidak pernah wujud namun tidak menafikan masalah tiada lagi persefahaman wujud dalam perkahwinan mereka yang berusia tujuh tahun itu.
“Saya nafikan benda itu (curang dan tidak beri nafkah). Peguam dia pun dah cakap benda itu. Tiba tiba ada kes curang? Itu yang boleh saya cakap. Itu semua saya nafikan. Itu semua tak betul.
“Saya ada bukti tohmahan itu untuk malukan saya, mencemarkan nama baik saya sedangkan kita dah ada perjanjian bersama sebelum saya lafaz tadi.
“Sepatutnya kita sama-sama kena jaga aib dan tidak cemarkan nama baik masing masing. Itu perjanjian yang kita telah tanda tangan bersama. Saya agak terkejut kenapa tiba-tiba ada kenyataan macam tu daripada dia,” ujar Fattah dalam nada kesal ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang
Bestari, di sini, hari ini.
Fattah berkata demikian kepada wartawan sebagai mengulas tuduhan curang dan tidak memberi nafkah yang dibuat oleh bekas isterinya, Fazura.
Fazura mendedahkan, perceraian yang berlaku antara dia dan Fattah disebabkan bekas suaminya itu berlaku curang di belakangnya.
Dalam masa sama, dakwa Fazura, nafkah yang sepatutnya disalurkan Fattah, ke atas dia dan anak perempuan tunggal mereka, Nur Fatima Aisya, 4, juga diabaikan sejak sekian lama.
Terdahulu, pasangan itu sah bercerai talak satu di mahkamah berkenaan.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, pada pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.