'Tindakan Will Smith menjijikkan' - Hos Oscar Wanda Sykes dedah perbualan dengan Chris Rock
Najib Aroff
Mac 31, 2022 08:40 MYT
Mac 31, 2022 08:40 MYT
SALAH seorang hos Oscar, Wanda Sykes menyifatkan tindakan Will Smith melempang pelawak Chris Rock sebagai amat memalukan.
"Saya jijik dengan perbuatan itu. Ini mesej yang salah.
"Anda menyerang seseorang dan anda sepatutnya diusir keluar. Namun untuk mereka membenarkan beliau kekal di situ, adalah amat menjijikkan," kata Sykes.
Sykes kemudian menjelaskan Chris Rock ada bertemunya di parti selepas acara tersebut dalam memohon maaf kerana insiden tersebut telah mencemarkan keseluruhan anugerah.
"Saya tanya dia, mengapa anda perlu minta maaf?
"Katanya, ini sepatutnya adalah malam anda (sebagai hos). Anda dan Amy (Schumer) dan Regina (Hall), anda semua lakukan tugas yang cukup hebat.
"Saya mohon maaf kerana ia terjadi sebegini," kata Sykes ketika ditemu bual dalam rancangan The Ellen DeGeneres Show.
Malah Sykes berpandangan Will Smith pihak yang seharusnya memohon maaf kepada semua hos kerana dia selaku penonton yang diundang telah merosakkan majlis tersebut.
Will Smith sebelum ini sudah menyatakan permohonan maaf kepada Chris Rock dan The Academy melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya.
Sementara itu, Chris Rock dilihat tiba di Wilbur Theatre di Boston untuk persembahan komedinya.
Ia kemunculan pertamanya selepas insiden dilempang pelakon Will Smith.
Ketika tiba, Chris Rock terus meluru masuk melalui pintu utama teater tanpa memberikan apa apa reaksi kepada media dan peminat yang menanti di luar.
Insiden pada Ahad malam di Dolby Theatre itu mengejutkan penonton yang keliru dengan kejadian tersebut.
Namun keadaan menjadi semakin hangat apabila Smith mula menjerit kepada Rock supaya tidak melibatkan isterinya, Jada Pinkett dalam komedinya.
Tindakan Will Smith menerima kecaman majoriti warga Hollywood yang menyifatkan dia amat biadap dan perlu dikenakan tindakan kerana menyerang Chris Rock.