Tim McGraw rasai kebebasan
Syafique Shuib
Februari 7, 2013 20:49 MYT
Februari 7, 2013 20:49 MYT
Tim McGraw mengakui lima tahun terakhir bersama label Curb Records merupakan saat sukar buatnya.
Bintang country itu kini mengikat kontrak dengan syarikat rakaman Big Machine.
Walaupun berstatus bintang muzik, McGraw bergelut untuk mendapatkan royalti hasil karyanya sendiri sehingga menjadi kes perundangan.
Hakim membenarkan McGraw meneruskan karier bersama label Big Machine namun Curb Records terus menjual album-albumnya dan kini McGraw tidak mahu berpaling lagi.
“Saya hanya mampu untuk membuat muzik yang terbaik. Saya rasakan saya sudah memasuki 30 peratus atau 35 peratus dalam kerjaya saya. Banyak lagi yang menunggu di hadapan berbanding dengan apa yang sudah saya lalui,” kata McGraw.
Buat kali pertama setelah bertahun-tahun penyanyi berusia 45 tahun ini merasai kebebasan yang diluahkan dalam single dan album baru "Two Lanes of Freedom".
Single sulung ini mendapat sambutan hangat peminat dan berjaya mendaki tangga teratas carta.
Bersama isterinya, Faith Hill, pasangan ini turut membuat persembahan yang digelar 'Soul2Soul' di Las Vegas.