Tiket konsert murah, persembahan kami tetap mahal - Syamel dan Ernie Zakri

Madiha Abdullah
Ogos 11, 2022 10:00 MYT
Konsert Aku Cinta Ernie Zakri dan Syamel bakal berlangsung 23 Oktober depan di Zepp, KL. - Foto Instagram/ERA
KUALA LUMPUR: Penyanyi Syamel melihat pandangan orang ramai berhubung harga tiket konsert Aku Cinta Ernie Zakri dan Syamel yang dikatakan murah, sebagai sesuatu yang positif.
Namun dalam masa yang sama, Syamel tidak mahu peminat beranggapan harga tiket itu akan melambangkan tahap persembahan mereka nanti.
"Mutu persembahan kami nanti tidak akan bersandarkan pada harga. Sebenarnya kami meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada pengurusan kami, Rocketfuel untuk menguruskan segala-galanya. Mereka pasti sudah membuat perkiraan yang sewajarnya.
"Tetapi jangan risau, persembahan kami tidak berlandaskan harga tiket," kata Syamel ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan, pada Rabu.
Sementara itu, Ernie Zakri pula mengakui antara kebimbangannya untuk menjayakan konsert adalah jika ia akan mendapat sambutan ramai.
Namun penyanyi berusia 30 tahun itu enggan menjadikan ia sebagai penghalang untuk dia muncul dalam sebuah konsert, seperti yang diimpikan para peminatnya.
"Memandangkan ini kali pertama kami mengadakan konsert, tertanya-tanya jugalah, adakah orang sudi menonton konsert kami?
"Tetapi jika terlalu memikirkan perkara itu, kami tidak boleh fokus. Apa yang boleh kami katakan ialah kami akan cuba memberi persembahan sehabis baik, apatah lagi kami sendiri sudah lama merancang untuk mengadakan konsert ini," ujar Ernie.
Konsert Aku Cinta Ernie Zakri dan Syamel bakal berlangsung 23 Oktober depan di Zepp, Kuala Lumpur. Pasangan itu dijangka membawakan kira-kira 23 buah lagu.
Tiket-tiket konsert boleh didapati bermula 15 Ogos di laman web ubertickets.my, berharga antara RM200 hingga RM500.
#Syamel #Ernie Zakri #konsert #penyanyi
;