Tiket konsert Coldplay habis dijual, netizen luah kekecewaan di media sosial
Syafique Shuib
November 21, 2016 21:57 MYT
November 21, 2016 21:57 MYT
TIKET konsert kumpulan Coldplay yang habis dijual dua jam selepas ia dibuka kepada umum telah mencetuskan pelbagai reaksi netizen di negara ini.
Walaupun siri jelajah konsert A Head Full of Dreams akan berlangsung di Singapura pada 1 April 2017, peminat-peminat Coldplay dari Malaysia tidak ingin melepaskan peluang ini.
Ada yang sanggup mencari alternatif lain termasuk membeli tiket yang dijual semula.
Namun para netizen kecewa kerana tikat-tiket ini dijual dengan harga yang begitu tinggi.
Tiket asal dijual pada harga dari S$78 (RM242.29) hingga S$268 (RM832.49).
Manakala tiket yang dijual semula di beberapa laman web mencecah dari RM12,000 hingga RM24,000.
Ada juga berkata mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan tiket untuk konsert Coldplay.
Sementara itu, pihak penganjur konsert di Singapura iaitu Live Nation Lushington memohon maaf kerana tiket habis dijual.
Selain itu mereka menggesa para peminat untuk tidak membeli tiket yang dijual semula dengan harga tinggi.
“Kita telah membatalkan tiket yang didapati dijual semula kerana ia telah melanggar terma dan syarat yang ditetapkan […] dan pemegang tiket ini tidak akan dapat masuk,” kata Live Nation Lushington di laman Facebook rasmi mereka.