Tiket harga RM10 temui Rajinikanth, Kamal Hassan
Bernama
November 6, 2017 00:22 MYT
November 6, 2017 00:22 MYT
Dengan membeli tiket berharga hanya RM10, orang ramai berpeluang bertemu bintang filem India, Rajinikanth dan Kamal Hassan dalam satu program khas yang menghimpunkan artis-artis terkenal dari negara berkenaan.
Program dikenali sebagai 'Natchathira Vizha 2018' itu akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 6 Jan tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International, Shahul Hameed Dawood berkata harga tiket yang rendah antara RM10 dan RM30 itu adalah bagi memberi peluang kepada peminat di negara ini, hadir ke majlis bakal menghimpunkan lebih 300 artis terkemuka dari India Selatan itu melibatkan pelakon, penyanyi dan pengarah muzik filem Tamil, selain penglibatan artis India tempatan.
"Nachathira Vizha 2018 merupakan pesta artis yang menampilkan persembahan nyanyian, tarian serta perlawanan kriket dan bola sepak oleh artis India serta artis tempatan," katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan lebih 30,000 peminat tanah air akan hadir memeriahkan acara tersebut.
Shahul Hameed menjelaskan acara melibatkan artis India yang terbesar di Asia itu akan mengeratkan hubungan antara artis dari India dengan artis tempatan serta mewujudkan platform bagi artis negara ini untuk bergerak ke peringkat antarabangsa dalam bidang hiburan.
Selain barisan pelakon terkenal India seperti Surya, Vishal, Karthi, Sivakarthikeyan, Vijay Sethupathi, Nayanthara, Tamanna, Mohal Lal, Nagarjuna dan Mammooty, enam pengarah muzik terkenal -- Harris Jayaraj, Anirudh Ravichandran, Srikanth Deva, GV Prakash, Tamman dan Imman serta penyanyi Karthik, Haricharan, Swetha Mohan, Ranjith, Naresh Iyer dan Chinmayee akan turut memeriahkan majlis tersebut.
Acara mega itu dianjurkan Persatuan Artis India Selatan dengan kerjasama MyEvents International serta mendapat sokongan sepenuhnya oleh Malaysia Major Events, anak syarikat di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
-- BERNAMA